Islam jadi umpan Umno

>> Selasa, Ogos 14, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

ISU negara Islam bukan perkara baru yang ditimbulkan Umno setiap kali menjelang pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di kawasan majoriti orang Islam. Pada pilihan raya umum 2004 Umno menghangatkan isu Islam Hadhari yang disifatkannya memberi kejayaan terutama kepada Umno Terengganu dalam usaha menumbangkan PAS di situ.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu negara Islam ketika menghadapi kebangkitan rakyat pada pilihan raya 1999. Beliau melontarkan isu negara Islam apabila PAS tersepit dalam gabungan pakatan Barisan Alternatif (BA) dengan DAP yang mahu konsep negara sekular.

Polemik kali ini mengajak anda menyentuh perkembangan politik tanah air serta isu negara Islam yang diungkitkan kembali bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12 akan datang. Pandangan anda sebanyak 450 perkataan dengan mencatatkan polemik boleh dihantar kepada e-mail nanbinjai@gmail.com, SMS 013-3354513 atau fax 03-40253307.

Begitu juga dalam pilihan raya umum 1990 ketika PAS bersama Parti Semangat 46. Gambar tengkolok dikatakan corak lambang salib dipakai Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden parti itu dijadikan isu oleh Umno bagi menjatuhkan sokongan masyarakat kepada pembangkang.

Sedangkan tengkolok yang sama pernah dipakai oleh Mahathir tetapi kerana Umno mempunyai media yang cukup berkesan maka impaknya cukup besar kepada pembangkang.

Akhirnya Ku Li gagal dalam hasratnya menguasai Malaysia. Pembangkang hanya memenangi 53 kerusi daripada 180 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan, iaitu 29.5 peratus.

Namun begitu kerusi pembangkang di Dewan Rakyat yang sebelum ini dikuasai kaum Cina mula dilihat stabil antara Melayu dan bukan Melayu. Ku Li juga didesak menjadi Ketua Pembangkang bagaimanapun menarik diri.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang ketika itu mengetuai ahli Parlimen PAS terperangkap dalam isu Ketua Pembangkang Parlimen akhirnya bertanding menentang Lim Kit Siang. Sikap berkecuali Semangat 46 mengekalkan Kit Siang dalam jawatan tersebut.

Pada pilihan raya 1995 pembangkang agak kelesuan terutama Parti Semangat 46. Ketika era ini ramai yang mengambil kesempatan peribadi. Pembangkang umumnya daripada pemimpin dan calon Semangat 46 mudah dibeli dengan wang ringgit dan berakhirnya pembubaran parti itu setelah penyertaan kembali dalam Umno.

Sementara prestasi DAP tetap kekal stabil dan terus menguasai pembangkang di Dewan Rakyat.

Sejarah perpecahan Umno berulang dalam pilihan raya umum 1999 tetapi pengalaman pilihan raya 1990 tetap menghantui pembangkang.

Sebelum pilihan raya 1990 itu, isu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan suasana perkembangan politik serta perubahan rakyat dilihat seolah-olah pembangkang boleh menukar pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Gabungan BA yang julung kali menyatukan PAS dengan DAP menjadi satu era pembaharuan dalam landskap politik tanah air. Tetapi sekali lagi Umno mempermainkan isu negara Islam menjadikan penyatuan dua parti berlainan ideologi itu longgar.

PAS dapat membuat penambahan kerusi empat kali ganda di Parlimen iaitu 27 kerusi. Sebaliknya DAP menyifatkan gabungan tersebut merugikan kerana tidak banyak keuntungan yang diperolehi. Walaupun parti ini berjaya untuk mendapat lagi satu kerusi berbanding sembilan kerusi pada tahun 1995, iaitu satu kenaikan 11 peratus, kedua-dua ahli kuatnya, iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh ditewaskan.

Bagi DAP pakatan dengan PAS jelas telah menjejaskan parti ini sehingga mengalami kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.

Buat pertama kalinya Ketua Pembangkang dimenangi kepimpinan Melayu iaitu Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor. Dan selepas itu kepada Presiden PAS sekarang Abdul Hadi sebelum kecundang dalam pilihan raya 2004.

PAS mencapai prestasi yang amat baik. Selain daripada mengekalkan negeri Kelantan, parti ini juga mengambil alih kerajaan Trengganu daripada BN. Di peringkat negeri, kekuatan PAS bertambah tiga kali ganda daripada 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kepada 98 Dun.
Sebagai parti baru iaitu KeAdilan kemenangan lima kerusi Parlimen dan empat kerusi Dun satu pencapaian yang baik tetapi berbanding dengan isu reformasi ia satu yang menggagalkan.

Bagi DAP isu negara Islam menyukarkan mereka bekerjasama dengan PAS dan kesan kepada kekalahannya. Begitu juga MCA, Gerakan dan parti lain dalam BN melihat perkembangan ini sebagai masalah kepada parti mereka bagi meraih undi Cina khasnya.

Kalau Gerakan melenting isu negara Islam dalam tahun 1999 ketika dibangkitkan Mahathir maka tidak hairan MCA pula mahu menjadi juara kaum Cina pada kali ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mencetuskan kembali bahawa Malaysia negara Islam.

Apakah Islam Hadhari tajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak berkesan menarik sokongan Melayu sehingga Najib terpaksa membelakangi idea Pak Lah. Tetapi apa yang pastinya selepas dilontar isu tersebut pembangkang dan pihak lain dinafikan bersuara untuk memberi maklum balas.

Media diarah tidak lagi menyiarkan pandangan serta kritikan berhubung isu tersebut. Apakah hak Umno sampai begitu sekali menyekat orang ramai bercakap mengenai Islam? Sedang Muhammad saw sendiri tidak menghalang.

Malaysia Negara Islam sebenarnya tidak lebih daripada umpan Umno untuk memancing undi Melayu. Memang umpan ini cukup bagus kerana ia mewakili nama besar agama dan majoriti penduduk Malaysia. Apabila sudah disentap dan mengena, hasilnya cukup memuaskan maka umpan tadi ditinggalkan begitu sahaja.

Cakaplah apa ulama mahu cakap, soal halal haram jadi perkara kedua. Apa yang penting keuntungan kepada kepentingan mereka sudah diperolehi.

PAS pernah menjadikan isu negara Islam sebagai agenda utama dalam pilihan raya 1986 bagaimanapun dieksploit oleh Umno dengan isu kafir mengkafir. Daripada situ timbul isu debat yang didakwa PAS bahawa Umno telah melakonkan debat sesama mereka sebelum bersedia menghadapi PAS.

Akhirnya dengan kuasa raja Melayu yang sering digunakan untuk memberitahu tarikh bulan puasa dan raya, diumumkan debat dibatalkan. Selepas debat, timbul muzakarah pada 1999 juga gagal.

Kali ini senjata PAS untuk menghadapi canang Umno bahawa Malaysia negara Islam ialah meminta diadakan dailog. Apakah ia berjaya? Pemerhati melihat ia tidak akan berjaya kerana itulah umpan Umno.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP