Pastikan gaji melepasi kemiskinan

>> Jumaat, Ogos 10, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
KERAJAAN hendaklah memastikan pendapatan yang diperolehi rakyat dibawah naungannya hasil daripada titik peluh mereka bersesuaian bagi menampung nafkah seorang isteri, keperluan tempat tinggal dan pakaian.
Nabi bersabda: “Sesiapa yang bekerja dengan kami, sekiranya ia belum lagi beristeri maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu beristeri, sekiranya ia belum lagi mempunyai seorang pembantu maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu mendapatkan seorang pembantu dan sekiranya ia belum lagi mempunyai sebuah rumah maka dimampukannya (melalui pembayaran gaji) memiliki sebuah rumah.” Riwayat daripada al-Auzai, daripada al-Harith bin Zaid, daripada Jubair bin Nafir daripada al-Mustaurad bin Syaddad. Hadis ini boleh dilihat dalam Abu Daud al-Musnad.
Polemik kali menampilkan masalah pendapatan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan ia melepasi paras kemiskinan. Hantarkan 450 perkataan pendapat anda dan catatkan polemik melalui SMS 0133354513, e-mail adnanbrahim@hotmail.com atau fax 03-40253307.
Gaji atau upah adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seorang pekerja. Ia adalah sumber pendapatan setiap insan golongan pekerja sama ada mewakili satu atau dua pekerjaan yang dilakukannya.
Jadi amat wajar gaji tersebut boleh menampung perbelanjaan hidupnya dan orang dalam tanggungannya, sama ada untuk mendapatkan barang asas serta keperluan.
Memandangkan Malaysia diwar-warkan dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi maka sudah sepatutnya golongan pekerja mendapat perlindungan yang sewajarnya. Perlindungan di sini dimaksudkan peraturan atau undang-undang bagi memastikan golongan pekerja mendapat pembelaan pendapatan mereka sesuai dengan taraf sosial ekonomi negara ini.
Walau pekerja tukang sapu sekalipun kerana mereka hidup dalam negara Malaysia yang sudah semestinya tanggungjawab pemerintah memastikan mereka memperolehi pendapatan melepasi daripada taraf kemiskinan. Sekiranya kerajaan gagal untuk memberi keyakinan tersebut bermakna negara ini tidak ada keberkatan.
Negara Islam itu rahmat dan berkat menjadikan rakyatnya aman dan damai. Aman kerana tidak ada kejadian kecurian, rompakan dan pembunuhan.
Kecurian dan rompakan berlaku dalam negara yang tidak ada keseimbangan pendapatan. Ia bukan sahaja melahirkan rakyat miskin bahkan warganegara berhutang yang boleh menimbulkan desakan serta tekanan hidup hingga membawa kepada gejala tersebut.
Oleh kerana itu tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bukanlah satu perkara berat yang tidak boleh dibawa berbincang. Alasan yang diberi kerajaan ialah bimbang pelabur tidak akan masuk ke negara ini. Ia satu yang sukar diterima.
Seperti pendapat Izam yang memberi nama ringkas, katanya: “Sebenarnya pelabur bukan semata-mata melihat soal gaji pekerja. Dia lihat soal polisi kerajaan, kestabilan politik, ketelusan, korupsi, infrastruktur. Yang pasti pelabur tak banyak komplen pasal pekerja Malaysia. dia banyak komplen pasal rasuah di setiap pintu, polisi yang macam-macam jenis atau tidak munasabah.”
Apa yang kita bimbang daripada luahan Izam itu ialah pelabur menghabiskan wang bawah meja berjuta-juta untuk datang melabur ke negara ini, bukan kerana bayaran gaji pekerja tinggi. Bermakna golongan tertentu yang berkepentingan mengutamakan peribadi mereka daripada memastikan masyarakat pekerja di sini mendapat imbuhan yang adil.

Kadar gaji

Mengenai soal menentukan kadar gaji, Islam telah menetapkan beberapa kaedah yang kemas mengharamkan penipuan baik dipihak mana sekalipun. Ia juga menegaskan jangan ada kemudaratan dan sesuatu amat yang tidak wajar kalaulah harta itu hanya dimiliki oleh orang-orang kaya sahaja. Firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 7: “Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja diantara kamu.”
Berdasarkan kepada panduan beberapa kaedah dan prinsip yang menarik ini sudah tentu dengan mudah sahaja orang dapat menentukan kadar gaji yang sesuai bagi kaum buruh.
Dalam syariat Islam membayar gaji pekerja adalah satu perkara yang termasuk dalam jenis kontrak yang diarahkan al-Quran bagi memenuhinya dan ia dianggap sebagai satu amanat yang mesti ditunaikan kepada orang yang berhak, firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman penuhilah aqad-aqad (kontrak) itu.” (Surah al-Maidah, ayat 1) dan “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya...” (Surah al-Nisa, ayat 58)
Sunnah Rasulullah telah menyebut melalui ayat yang keras tiga jenis manusia yang dimusuhi Allah di hari kiamat nanti, antaranya mereka yang disebut ialah seorang yang mengambil pekerja, lalu buruh itu menunaikan kerjanya dengan sempurna tetapi lelaki itu tidak membayar gajinya. Lihat Sahih Bhukari kitab 37 bab 10.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP