Luar minda baru cegah tabiat merokok

>> Jumaat, Ogos 03, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
BENARKAH kerajaan mahu rakyat berhenti merokok sebagaimana kempen `Ke arah Malaysia tanpa rokok’? Jika betullah, kerajaan mesti ada pendekatan baru untuk mengatasi masalah tersebut.
Perbuatan merokok memang sukar dihapuskan kerana ia melibatkan perasaan dan `gian’. Ada unsur sentimental yang sukar dipadam. Terdapat setengah perokok yang juga penyalahgunaan dadah berpendapat berhenti mengambil dadah lebih mudah daripada berhenti merokok.
Selepas makan adalah masa yang paling tinggi keinginan merokok. Perasaan keinginan membuak-buak dan melonjak-lonjak itu sukar diukir dengan tulisan serta sukar ditutur dengan percakapan. Hanya golongan perokok yang tahu. Malah ada yang bermadah `biar putus cinta jangan putus rokok’. Sebab itu alasan puasa sebagai cara berhenti rokok payah untuk diterima.
Ada setengah perokok tidak boleh buang air besar sekiranya tidak ada rokok. Maknanya hajat itu boleh tergendala kerana amalan yang sudah menjadi sebati iaitu merokok ketika buang air besar. Bagi mereka rasa tidak selesa. Bau asap rokok lebih wangi ketika berhajat itu.
Pasal itu hujah menaikkan harga rokok bagi menghentikan tabiat itu sukar untuk diterima. Kebiasaan mereka yang berhenti merokok kerana dapat penyakit hingga doktor nasihatkan jangan merokok.
Setengahnya pula berhenti merokok dengan cara tukar gaya hidup memakan gula-gula dan akhirnya dapat kencing manis. Pelbagai pendekatan diguna pakai malah berbomoh masih juga belum mampu menghapuskan tabiat merokok.
Mereka bukan tidak ada keinginan untuk berhenti merokok tetapi ia tidak mampu mengatasi perasaan kecintaan yang terlalu lebih kepada rokok. Perasaan sayang rokok yang sukar dibendung sehingga dalam keadaan dan tempat larangan merokok dimana sekalipun mereka tetap mahu merokok.
Satu hal pulak, kawasan larangan merokok ada tetapi penguatkuasaan tidak ada. Kalau naik bas luar bandar semacam tidak ada amaran di larang merokok dalam bas, penuh asap rokok.
Walaupun mereka ada knowledge bahaya merokok, kesan kepada orang lain dan keluarga tetapi masih juga merokok. Tahu bahaya kepada kanak-kanak tetapi ketagihan memusnahkan perasaan kemanusiaan kepada insan lain.
Sebab itu mesti ada perubahan luar minda daripada skop pemikiran yang ada sekarang. Setakat menaikkan cukai dan harga rokok ia tidak akan menghentikan tabiat merokok. Malah ia menambah penyakit sosial masyarakat, mencuri duit ibu bapa.
Perbuatan vandalisma dan mencuri besi penutup longkang dan lain-lain untuk ditimbang kilo iaitu cara mudah dapat wang hapuskan ketagihan rokok. Bukan sahaja besi disapu sampah pun sudah hilang di Klang baru-baru ini.
Oleh yang demikian kajian perlu dibuat kenapa Allah melarang manusia berzina. Haramkan zina, malah dekati zina pun sudah dikira haram. Haramkan arak dan judi.
Kenapa Allah mengharamkan? Apa salahnya buat sekali? Inilah hikmat yang jarang kita nampak. Kebiasaan manusia sekiranya sudah mula melakukan maksiat perasaan ketagih akan datang menyerang.
Bila kita mula sekali akan datang pula keinginan untuk melakukan yang kedua seterusnya. Dan begitulah seterusnya hingga menjadi lekat tabiat, ketagihan dan keseronokan. Akhirnya ia sukar dihapuskan. Begitulah dengan penghisap rokok.
Allah mengharamkan maksiat itu secara tidak langsung menghentikan dan menghapuskan tabiat yang mahu dicuba oleh manusia dan ketagihan akibat daripada mencuba.
Bermula dengan mencuba mungkin daripada desakan rakan atau gerak hati sendiri. Walaupun cubaan pertama itu menyebabkan batuk sehingga melilih air mata yang menunjukkan betapa teruknya hisap rokok tetapi kerana keseronokan mencuba maka diteruskan juga.
Cabaran rakan atau hati tadi maka apa yang dilarang itulah yang seronok. Bila sudah seronok akhirnya menjadi tabiat atau `gian’. Begitu juga dengan penzina bermula daripada mencuba dan akhirnya `habis duit kerana perempuan’.
Samalah juga arak sehingga ada kita dengar pemimpin negara sukar hapuskan ketagih arak. Begitu juga dengan judi. Kalau dilihat hampir muka yang sama di kedai nombor ekor `gian yang tiada kesudahan’.
Bagaimana Islam boleh mengurangkan umatnya daripada minum arak, judi dan zina, ialah kerana hukum haram tersebut. Bagi yang kuat pegangan mereka tidak akan mencuba kerana berpegang pada hukum yang haram.
Bagi yang tidak kuat pegangan hukum, apa yang dilarang itulah mahu dicuba. Bagaimanapun Islam ada langkah tertentu supaya tidak ketagih iaitu menyuruh umatnya bertaubat kalau sudah terlanjur melakukan maksiat. Taubat ini pencegah kepada umatnya menjadi maksiat sebagai tabiat ketagihan atau `gian’.
Pendekatan inilah yang perlu diambil oleh kerajaan kalau sekiranya benar mahu rakyat berhenti merokok. Sebab itu negara Islam tidak ada pusat judi. Berdosa kalau keluarkan lesen judi. Arak juga haram dijual. Bagaimanapun mengikut setengah ulama diboleh jual kepada orang bukan Islam yang minum arak. Bermakna penjualannya ada kaedah tertentu, tidak terlalu umum.
Pusat pelacuran juga tidak ada dalam negara Islam. Kalau rakyatnya terdesak untuk menyara keluarga sehingga terpaksa melacur kerana darurat sebagaimana kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, maka menjadi tanggungjawab kerajaan menggunakan duit baitulmal memastikan mereka ini selamat.
Mungkin agak keras dan sukar diterima tetapi ini pendapat yang boleh dibawa berbincang. Sedarlah kita bahawa selagi benda masih wujud depan mata walau mahal sekalipun tetap ada ikhtiar manusia untuk mendapatkannya. Jadi tabiat 4.6 juta perokok negara ini akan tetap berterusan.
Apa yang penting menyelamatkan mereka yang belum merokok. Kalau sudah merokok ia satu kerja yang sia-sia. Mencegah lebih baik daripada mengubat.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP