Penulis buku best-seller Rahsia Bisnes Orang Cina
SAYA mengenali Ann sejak bertugas di Harakah pada 1993. Ketika itu beliau sering berurusan dengan Pengarang Rencana, Ustaz Mashudi Bunyani untuk memasukkan artikalnya dalam Harakah.
Kedatangan beliau ke pejabat semasa itupun pada waktu kritikal (dead line) jadi tidak sempat untuk berbual panjang. Ketika itu kami bertegur sapa secara ringkas dan beliau masa itu belum lagi memeluk Islam. Bagaimanapun tulisan beliau macam orang Islam.
Saya kenal beliau antara penulis yang rajin dan cekal walaupun banyak menghadapi cabaran dan karenah. Satu perkara yang tidak dapat saya lupa apabila mendengar dan menyebut nama awalan beliau ialah kepada nostalgia lama. Mungkin beliau tidak tahu tetapi saya hanya boleh senyum sendiri. Ikuti perbualan Adnan Ibrahim ketika menghubungi beliau di rumahnya.
Nama: Ann Wan Seng
Umur: 39 tahun
Nama isteri: Haslina Hassan
Tarikh kahwin: 1996
Anak: Seorang
Tinggal: Klang, Selangor.
Asal: Klang.
Profesion: Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).
Penolong Setiausaha Kehormat Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Pengalaman: Pensyarah di Jabatan Antropologi & Sosiologi 1992 hingga 1994 di Universiti Malaya (UM).
Mula menulis sejak di bangku sekolah menengah 1987.
SOALAN: Apa minat Ann sebenar pendakwah atau penulis? Profesion utama?
ANN WAN SENG: Saya meminati dunia penulisan dan usaha dakwah Islamiah kerana kedua profesion tersebut menjurus kepada matlamat yang sama iaitu menyebar ilmu pengetahuan, menyampaikan maklumat dan mengajar orang kepada kebenaran.
Saya juga berceramah dan terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan . Kesemua itu saya anggap sebagai profesion yang utama kerana sasarannya kepada semua orang sama ada yang beragama Islam ataupun bukan.
Sekarang menulis dekat mana?
Saya sekarang menulis dan menjadi kolumnis di E-Siswa, Majalah I, Dewan Ekonomi dan beberapa buah majalah lain.
Berapa banyak buku diterbitkan? Macam mana sambutan?
Lebih daripada 30 buku. Buku pertama terbit pada 1991 dan setakat ini sambutan cukup menggalakkan. Buku yang menjadi best-seller di Malaysia dan Indonesia ialah Rahsia Bisnes Orang Cina.
Buku lain mencatat best-seller di Malaysia iaitu Rahsia Bisnes Orang Jepun, Rahsia Arqam, Al-Arqam di Sebalik Tabir dan Rahsia Black Metal.
Banyak menulis cara orang berniaga, Ann minat berniaga ke?
Sejak kebelakangan ini saya banyak menumpukan perhatian kepada buku yang berkaitan dengan perniagaan kerana wujudnya minat masyarakat untuk mempelajari cara orang Cina berniaga.
Saya tulis berdasarkan pengalaman keluarga saya yang terlibat dalam bidang perniagaan sejak kecil lagi. Keluarga saya berniaga makanan dan saya membesar dengan pendapatan yang diperolehi daripada hasil perniagaan. Keluarga saya tidak pernah makan gaji.
Suka perniagaan apa? Boleh jadi jutawan?
Saya suka berniaga dan juga sesuatu yang ada kaitan bahan bacaan. Bagi saya dalam apa sahaja lapangan perniagaan, seseorang itu boleh menjadi jutawan bergantung kepada sejauh mana kemampuan menguruskan perniagaan.
Banyak dapat komen daripada orang cina, apa pandangan mereka?
Rahsia Bisnes Orang Cina banyak dapat sambutan daripada orang Melayu. Saya tidak dapat banyak komen daripada orang Cina.
Ada blog sendiri?
Ada, sifu moden tetapi tidak aktif kerana saya tidak ada masa untuk kemaskini. Saya banyak layari internet untuk dapatkan berita, bahan bacaan dan rujukan.
Apa rasa perasaan dan fizikal badan kalau tidak menulis?
Saya rasa hidup tidak lengkap. Ada semacam kekosongan dan ada kalanya merasa gelisah. Perasaan saya akan menjadi segar apabila dapat menyiapkan bahan penulisan.
Minat politik? Apa pandangan Ann tentang politik Malaysia?
Minat, sejak di bangku sekolah lagi. Peringkat awal penulisan saya banyak menjurus kepada penulisan berkaitan politik Malaysia dan isu semasa.Ijazah pertama saya, mengenai `Politik Cina di Kuala Langat’ dimana dalam tesis tersebut saya meramalkan Parti Semangat 46 akan mencapai kemenangan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Panglima Garang dengan mengalahkan calon MCA dan ramalan itu tepat sekali.
Apakah perlu ada pembaharuan politik di Malaysia?
Politik Malaysia agak komplikated dan unik kerana kita mempunyai banyak parti politik dan pelbagai suku kaum dengan pandangan hidup yang berbeza-beza. Politik Malaysia banyak berdasarkan kepada politik perkauman. Ini harus diubah kerana politik ini tidak akan mampu mengwujudkan keharmonian dalam masyarakat kita sebaliknya akan menimbulkan pelbagai konflik dan krisis yang tidak berkesudahan.
Inilah bentuk perubahan politik yang perlu kita laksanakan. Ini hanya dapat dicapai melalui perubahan, paradigma dan cara berfikir masyarakat kita.
Ada sertai parti politik? Kenapa tidak pilih MCA atau DAP?
Saya tidak begitu gemar parti yang bercorak perkauman. Saya lebih suka pilih parti yang boleh diterima oleh semua kaum.
Kalau ada peluang mahu tanding pilihan raya? Kawasan mana majoriti Cina ke Melayu?
Kalau ada peluang saya akan pilih kawasan campuran mempunyai komposisi kaum yang hampir seimbang.
Kalau dapat peluang jadi PM apa yang akan Ann buat?
Saya akan pastikan penyakit masyarakat kita dapat diselesaikan antaranya rasuah, penyalahgunaan kuasa, keruntuhan moral, jenayah dan kemiskinan.
Tidak mahu rapat dengan Pak Lah? Boleh tumpang naik jet atau kapal layar mewah? Berkawan dengan Patrik Lim boleh dapat projek? Pembangkang bagi apa?
Saya berkawan dengan sesiapa sahaja tidak kira daripada pihak pembangkang atau parti pemerintah kerana matlamat saya bukan kerana untuk mendapat projek tetapi untuk bercampur dengan pelbagai golongan dan latarbelakang yang berlainan.
Ada pernah lumba kereta di jalan raya? Bila ada yang cabar lumba?
Saya tidak akan layan orang yang mencabar saya berlumba kerana tidak ada faedah.
Apa perasaan bila terkandas dalam kesesakan jalan raya?
Tertekan dan marah tetapi biasanya saya guna kesempatan ini untuk cari idea bagi penulisan dan bahan ceramah.
Suka kereta apa, `merc’ atau BMW ke apa?
Saya suka model yang jarang digunakan seperti Saab dan sebagainya.
Suka mandi laut atau main di pantai terutama di Terengganu, negeri pantai yang cantik?
Saya suka mandi laut dan bermain di pantai kerana ia dapat memberi ketenangan. Saya biasa pergi ke pantai di Terengganu.
Pernah saya bayangkan alangkah bagusnya kalau pantai di Terengganu dapat dijadikan sebagai tempat rekreasi untuk orang ramai dengan prasarana yang lengkap.
Mandi air terjun suka?
Memang saya suka mandi. Masa di sekolah dahulu saya biasa pergi camping di kawasan air terjun.
Suka atau tidak habiskan masa sehari memancing di sungai atau laut?
Pernah juga memancing di laut dan sungai tetapi tidak pernah jadikan hobi.
Boleh ikut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dengan Prof Dr Harun Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) sekali memancing di pantai ke atau tasek?
Kalau ada kesempatan saya hendak ikut.
Bagaimana pergaulan orang Cina dengan Ann?
Saya tidak ada masalah bergaul dengan masyarakat Cina kerana saya masih mengekalkan jati diri sebagai orang Cina.
Masih makan di kedai Cina?
Ada juga makan di kedai Cina Muslim dan kedai masakan Cina Vegetarian selagi ia halal. Saya memang meminati masakan Cina dan saya juga minta isteri saya masak masakan Cina.
Di Perkim apa kejayaan yang masih Ann ingat sampai sekarang?
Di Perkim dan Macma, saya telah mengadakan program dakwah kepada masyarakat non-muslim dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan yang praktikal sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.
Apa perkara yang tidak dapat dilakukan di Perkim sehingga sekarang masih menjadi penyesalan pada Ann?
Saya ingin melihat saudara baru dapat menjadi model dan contoh terbaik kepada masyarakat Islam dan non-muslim tetapi impian ini belum dapat dilaksanakan.
Saya juga belum dapat membetulkan imej yang dilebalkan kepada golongan saudara baru sebagai orang yang bermasalah, terpinggir dan dituduh ada motif tertentu bila memeluk Islam.
Apa perasaan terbuku Ann yang tidak berani diluahkan?
Saya suka memendam perasaan dan tidak suka melauhkan secara terbuka kerana saya khuatir ia akan menyinggung perasaan orang lain.
Ada masuk pelaburan internet?
Ada kawan ajak tetapi tidak masuk. Saya tidak minat kerana ia bukan merupakan suatu bentuk perniagaan sebaliknya satu perjudian. Bagi saya berniaga harus mengikut lunas konvensional yang sedia ada.
Orang Cina tidak masuk pelaburan ineternet?
Orang Cina memang minat pelaburan internet sebab ia memberi pelaburan yang tinggi walaupun risiko tinggi.
Apakah kita perlu ada konsep hidup mahukan materialistik atau bagaimana?
Kita perlu hidup bukan berkonsepkan mencari kekayaan material semata-mata. Kena ada satu kepuasan hidup. Yakni kepuasan sebagai seorang manusia yang merupakan tanggungjawab terhadap dunia.
0 comments:
Catat Ulasan