Orang Asli di negeri maju tiada elektrik

>> Jumaat, Ogos 10, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
BARU ini Siasah ada menyiarkan cerita tentang Orang Asli dan ada yang bertanyakan apa relevannya dengan tabloid ini dan politik negara. Mereka berpendapat Orang Asli adalah sebilangan kecil terutama di Terengganu. Dan ia bukanlah menjadi harapan sangat kepada pembangkang.
Memang kalau dikira undi ia bukanlah menjadi sasaran kepada parti politik kecuali yang boleh diambil kira Parlimen Gua Musang dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan itu. Ia boleh menjadi undi penentu pada sesetengah kawasan.
Kita tidak boleh pandang sebelah mata. Sekiranya kita masih menganggap mereka rakyat kelas dua maka kerugian kepada kita serta Islam kerana pihak lain telah berperanan aktif mendekatkan agama mereka kepada Orang Asli.
Sebenarnya kita telah terlepas pandang masyarakat ini sehingga ramai daripada mereka yang memeluk agama Kristian. Namun begitu boleh dikatakan 60 peratus masih lagi beragama Anamisme atau tradisi asal mereka.
Sebaliknya pendakwah Islam tidak berperanan aktif menarik mereka supaya mencintai Islam. Kita perlu ada pendekatan yang sesuai dengan cita rasa serta memahami budaya mereka sebelum berceramah kepada masyarakat tersebut.
Sebaik langkah ialah orang Islam yang mempunyai akhlak baik mendekatkan diri kepada mereka. Mesti membina perhubungan dan menjadi pendengar setia kepada mereka selain kita secara beransur-ansur menerangkan apa dia Islam. Tetapi apa yang penting adalah akhlak.
Ini kerana mereka juga mempunyai akhlak dan budaya yang unit. Ada tingkah laku tertentu pada diri kita yang dilihat oleh mereka tidak bersopan walaupun pada tanggapan kita perkara itu biasa dalam amalan. Hal ini yang mesti dipelajari supaya kita dilihat menghormati mereka.
Dalam soal memberi buah tangan adalah perkara kedua. Tetapi bagi mereka yang memahami secara luaran tentang masyarakat ini akan membuat tanggapan Orang Asli kalau diberi rokok atau minum keras mudah untuk dibuat kawan. Memang perkara ini tidak boleh dinafi kerana sifat keutamaan pada diri. Buah tangan seperti ini adalah didikan penjajah terhadap mereka.
Oleh yang demikian amalan ini perlu diubah secara beransur-ansur. Lagi pun setengah mereka sudah terdidik dan mampu berfikir untuk kepentingan masyarakat Orang Asli. Sebagaimana Tok Batin, Hussein Ngah Yin di Kampung Orang Asli, Bukit Kala, Kilometer 24, Gombak. Beliau non muslim tetapi bukan sebarangan pendakwah boleh mendekati beliau kerana hujahnya yang kemas dan berilmu.
Mendekati Orang Asli cukup seronok. Umpamanya penglibatan saya dan beberapa kawan dalam pembelaan Orang Asli, Mustafa dan kawan-kawannya di Bukit Lanjan pada tahun 1999 sehingga memperolehi banglo, rumah berkembar dan teres.
Walaupun terdapat Orang Asli sendiri memandang lekeh usaha kami tetapi sebahagian Orang Asli yang bersama Mustafa mengakui tekanan dan desakan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) menyebabkan kerajaan bersedia berunding dengan Orang Asli.
Memorandum dihantar kepada kerajaan dan juga Parlimen. Hasilnya beliau menikmati kehidupan yang bertambah baik dengan sebuah rumah dan wang pampasan. Saya sudah lama tidak mendengar kabar Mustafa. Menurut cerita beliau telah berpindah ke Perak dan mengusahakan ternakan ikan kolam hasil daripada wang pampasan tersebut. Rumahnya di Bukit Lanjan dikatakan anaknya yang duduk.
Bagaimana pula nasib Orang Asli di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, sampai sekarang mereka masih belum menikmati elektrik. Anak mereka membaca berpelita ayam. Suasana gelap tak ubah era 60 an. Kenapa nasib mereka sampai zaman sekarang masih jauh ketinggalan. Ini kerana tidak ada pembelaan politik terutama daripada parti pembangkang. `Pembangkang tidak bising, kerajaan buat senyap’. Inilah nasib golongan minoriti.
Daripada hubungan dengan Mustafa, saya turut mengenali Presiden Persatuan Orang Asli dan timbalannya iaitu Majid dan Arif Embong. Persatuan ini dikatakan yang mendapat projek kerajaan bagi membangunkan masyarakat Orang Asli.
Mereka ini senang dibawa berbincang tetapi agak mengelak dalam perkara politik. Sebab itu, baik Mustafa umpamanya lebih senang berbincang dengan kami dan NGO lain.
Namun begitu Majid dan Arif inilah yang membawa saya ke alam yang lebih jauh dalam masyarakat Orang Asli. Setiap kali program keraian dan perayaan budaya Orang Asli baik di Sepang atau di Perak mereka tidak pernah ketinggalan menjemput supaya turut serta. Kerana itu setiap kali pertemuan dengan Orang Asli peristiwa bersama mereka memang sukar dilupa malah mula timbul keinginan untuk kembali aktif melakukan kerja kesedaran dan perubahan membentuk minda mereka ke arah yang lebih dinamik.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP