Sikit-sikit tulis blog... sikit-sikit tulis blog... Ini contoh orang tidak berakhlak jemaah. Sepatutnya diselesai secara dalaman tetapi tidak..., tulis blog, masuk akhbar. Kali ini terkena pada Tok Guru Nik Abdul Aziz dan keluarganya sedangkan sebelum ini pemimpin PAS habis dijaja dalam blog. Cara yang cukup mengaibkan.
Ini akibat daripada memperlekehkan orang jemaah. Orang jemaah tidak boleh buat kerja seperti dia. Orang ni pandai.. orang jemaah tidak pandai. Pandai buat filem tetapi duduk kat PMBK. Apa kelayakan dia duduk di situ melainkan kroni... Ada pembela.
Kalau kita bawa orang luar langkah selamat letak dibawah pengawasan bukan secara langsung terus kepada penjaga tetapi susah juga ya kalau dah `ahli PAS VVIP'. Ini kena tanya Ustaz Hasan Shukri ada ke ahli seumpama itu...
Lagi pun kita tidak tahu sejauh mana akhlak jemaah orang yang kita temui tepi jalan ni. Memang dari segi pergaulan bagus tetapi sejauh mana mereka faham dengan akhlak berjemaah kerana banyak hasilnya kita dapati berlaku pemusuhan dalam PAS, antara pemimpin dan ahli.
Pemimpin tidak sedar mereka sudah berpuak hasil kerja tangan orang seperti itu kerana masih teruja dan menyanjung tinggi info yang dia beri. Entah info itu dia reka kita tidak tahu. Orang seperti ini kalau kita pi kat Chow Kit sama dengan jenis jual ubat. Kalau mudah layu dia kencing habis.
Insya Allah saya akan buat artikal berhubung tulisan Nik Abduh ini. Ikuti petikan saya copy and paste daripada blog Abduh.
abdul ariffahmi abdul rahman – moga awan berarak lalu
....Ia tidak pun mencecah dua bulan sehinggalah isu PMBK pecah. Ayahanda dan Arif diserang hebat. Saya menjadi bungkam tak terkata..
Anda telah melihat bagaimana cekalnya ayahanda mempertahankan keputusannya. Bagaimana
ayahanda mengulas isu kroni dan isu berkaitan Ariffahmi yang melingkari keputusannya itu. Saya diberitahu beberapa kumpulan daripada dalaman parti datang menemui ayahanda dan memberi pandangan. Mereka keluar tanpa berjaya mengubah keyakinan ayahanda.
Tetapi ia tidak mampu untuk menahan ipar saya daripada menerima tikaman demi tikaman dari segenap sudut yang menyukarkan pergerakannya.
Keluarga agak bersedih. Kami melalui saat sukar. Tetapi ia bukanlah yang pertama. Ia tidaklah sesukar saat kekanda saya, ustaz Nik Adli ditahan di bawah ISA hampir 10 tahun yang lepas. Tetapi ia adalah dua yang berbeza. Melawan kezaliman UMNO tidaklah sukar. UMNO di sisi ayahanda adalah kemuncup dalam perjuangan. Jika ia menyalak, ayahanda adalah bukit. Jika ia bising, ayahanda adalah rotan.
Tetapi isu PMBK lebih bersifat dalaman. Ada sesuatu yang tidak kena yang mula dirasai ayahanda. Saya doakan ayahanda menemui jawabannya. Jawabannya ada di sekeliling ayahanda di sisi pembantu – pembantunya yang setia yang tidak pun terfikir untuk membuat onar dan masalah selain membantunya dengan setia.
Saya tahu mereka tidak menyetujui perlantikan Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda. Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan.
Adapun blogger Kickdefella yang melakonkan watak Jebat yang berusaha membela si Tuah rakan pujaannya, saya tidaklah bersedia menyalahkannya sepenuhnya. Beliau berhak melakonkan watak itu atau menulis skrip agar filemnya menjadi meletup. Itu bidangnya semenjak dulu. Saya pun seronok menonton ‘Titanic’ dengan ceritanya yang ditokok tambah agar menjadi lebih mendalam kesannya terhadap penonton.
Beliau bukan ahli PAS seperti katanya. Semasa beliau dibawa ke Kelantan dengan taraf kerakyatan ‘ahli PAS kelas VVIP’ yang pertama kali diwujudkan, ramai mana yang terpegun dengan jumlah wang yang sanggup dibelanjakan untuk menjayakan dua misi berbeza yang tergalas. Satunya untuk ‘bersama’ ayahanda menjatuhkan kerajaan Pak Lah. Satu lagi, ada yang tahu dan ada yang tak tahu. Saya takkan beritahu.
Beliau mungkin telah diberi kursus intensif untuk menjadi pahlawan dan kawan kepada pejuang PAS. Tetapi modul kursus mungkin cacat sehingga beliau seperti tiada mengenal erti adab untuk menegur ayahanda, idola dan pujaannya yang pernah menggeli – gelemankan hati saya lewat hamburan puji – pujiannya yang melampau. Lainlah jika ayahanda kini adalah musuhnya yang perlu ditentang seperti Pak Lah dulu. Lainlah jika begitu.
Beliau bukan peneguk arak, tetapi serangannya seperti peneguk arak yang bersahaja dalam kemabukan. Menaruh madu di dalam racun dan menitik zam – zam di gelas arak.
Mengapa menghulur mawar kepada ayahanda di hari terakhir, kemudian menikamnya sebaik keluar dari Kota Darul Naim? Ayahanda bukan Pak Lah yang menutup pintu sehingga anda terpaksa menggunakan blog mengkritiknya dan menikam Ariffahmi. Mengapa tidak terus mengkritik Ariffahmi di depannya sebagai mana saya dan yang lain. Tiada seorang pun yang digertak ayahanda kerana mengkritik menantunya itu. Tidakkah anda ada tulang belakang yang gagah? Ke mana pergi tulang belakang anda?
Aib anda ada disimpan di sisi bukan sedikit, bahakan ramai, tetapi setiap muslim tidak gemar melondeh apatah menambah perisa fitnah yang membakar diri. Tak perlulah mengajak Ariffahmi ke mahkamah, cukuplah anda bersiap ke mahkamah untuk kes saman fitnah timbalan presiden PAS ke atas anda. Jika timbalan presiden terasa penangan fitnah anda, apa pelik untuk kami merasa penangan yang sama. Itu lebih mudah buat anda. Sekadar menantu. Sambil – sambil tu bolehlah anda mula berfikir untuk bikinan ‘ Bicara Tentang Kita – 2′. Mungkin meletup dan ada hadiahnya daripada dunia perfileman.
Oh ya, berapa jumlah yang anda minta daripada Ariffahmi untuk menerajui Darul Digital? Siapa pula yang anda kutuk di hadapannya hari itu?
Malang buat anda. Orang lain datang untuk belajar ugama daripada ayahanda, tetapi anda datang untuk memuji dan memuja ayahanda. Akhirnya inilah yang anda dapat. Mungkin anda tidak bersalah. Yang pasti bersalah ialah orang yang membawa anda ke Kelantan dan sedang menyuci diri membebas diri daripada anda di depan ayahanda.
Saya mengucap tahniah kepada tuan presiden dan rombongan yang telah memainkan peranan meyakinkan ayahanda perlunya mengekang fitnah yang sukar dipadam. Ayahanda telah akur dan bersedia berkorban dan mengorbankan.
Saya mengucap tahniah kepada ipar saya kerana mendengar nasihat saya agar sentiasa bersama ayahanda. Pertahan jika disuruh dan berhenti jika disuruh. Ariffahmi adalah maruah seorang tuan guru. Saya melarangnya bercakap walaupun beliau berhak bercakap dan mempertahankan diri. Fitnah apabila datang tidak mengenal Uthman dan Ali, apatah ayahanda, apatahlah lagi Ariffahmi sendiri. Dia semakin diam semakin selamat.
Tetapi tiada tahniah daripada saya buat orang yang telah meleburkan semangat amal jamaie di dalam jamaah dan perjuangan parti. Susah berbahasa pada orang – orang yang hidup menumpang tuah bauan mawar jirusan ayahanda. Merajuk pun masuk akhbar. Macam artis.
Saya bersetuju Ariffahmi meletak jawatan. Ia kerana ayahanda bersetuju dan tuan presiden bersetuju. Jika anda mahu lebih, bercakaplah dengan Ariffahmi sendiri. Anda akan terpegun dengan jawabannya sebagaimana anda terpegun dengan skrip gubahan Kickdepella. Hanya menghukum melalui tulisannya samalah seperti sang hakim menghukum dalam mabuk kedarah arak terlarang.
Jika ada yang mengkritik saya, saya ingatkan bahawa saya menulis untuk maruah keluarga seorang tuan guru. Hak adalah untuk ayahanda dan Ariffahmi. Mempertahan integriti dan maruah keluarga adalah perjuangan ugama yang terpuji. Saya menagihnya daripada tuhan yang menyayangi.
Ariffahmi adalah ipar saya. Dia keluarga saya dan dia telah memberikan yang terbaik untuk bapa mertuanya. Jika dia bersalah, dia berhak menerima hukuman. Tetapi dia tidak berhak bersendirian mempertahan diri daripada sekam fitnah yang membakar diri dan keluarga... laporan penuh boleh klik di sini
0 comments:
Catat Ulasan