Konvensyen Pakatan: Perwakilan mula bahas rangka kerja dasar

>> Sabtu, Disember 19, 2009

Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar ibrahim bersama pemimpin tertinggi PAS dan DAP hari ini senada berjanji untuk membebaskan rakyat dari cengkaman politik perkauman, rasuah dan penyelewengan kuasa yang berterusan di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Sebagai ganti, Pakatan Rakyat melancarkan teras perjuangannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara dinamis bertapak kepada keluhuran undang-undang dan Pelembagaan yang memberi keadilan kepada semua kaum.

Dokumen bersama rangka kerja yang dipersetujui pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti akan dibahaskan oleh perwakilan sebelum dijadikan peta yang mencorakkan hala tuju perjuangan Pakatan Rakyat

Kira-kira 1,500 perwakilan menghadiri perjumpaan sehari itu di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam.

Antara yang menjadi intipati perjuangan Pakatan Rakyat, khususnya jika diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan ialah:

- pengharaman undang-undang kuku besi,
- pengagihan bantuan saksama kepada masyarakat termiskin
- merombak sistem tender yang terpalit dengan amalan rasuah sebaik sahaja ia mengambil-alih kerajaan persekutuan.

Gagasan pembangkang berkenaan juga akan memastikan Parlimen diberi mandat bagi memperakukan perlantikan pegawai tertinggi Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam dokumen itu, Pakatan Rakyat turut berikrar memberi negeri pengeluar minyak royalti minyak 20 peratus dan sejumlah dari cukai yang dipungut di negeri masing-masing.

Sementara bagi sistem pilihanraya pula, Pakatan Rakyat mahu menghapuskan undi pos yang terdedah kepada penyelewengan. Turut dicadangkan adalah hukuman keras ke atas mana-mana calon yang didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Ikrar lainnya termasuk perkhidmatan wifi percuma seluruh negara, melanjutkan tempoh persaraan kepada 60 tahun, dan potongan diskaun 50 peratus tambang pengangkutan awam untuk para pelajar, pesara, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Pakatan Rakyat berpendapat golongan miskin tegar layak menerima bantuan wang ringgit, serta pemberian biasiswa harus dibuat berdasarkan merit.

Selain itu, Akta Hubungan Kaum akan diperkenalkan serta menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak berkenaan undang-undang yang memberi kesan ke atas kaum dan agama.

Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan dasar gaji minima dan memberikan semua pekerja hak untuk membentuk kesatuan.

Sistem pencen yang baru akan diperkenalkan sebagai piihan untuk para pekerja di sektor awam, selain mewujudkan dana pemberhentian untuk pekerja yang diberhentikan.

Bagi menguja daya-saing sumber manusia, program latihan dan penempatan semula akan diperkenalkan bagi membantu golongan penggangur.

Usul yang terkandung dalam rangka kerja ini adalah tujahan utama Pakatan Rakyat menghadapi Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang, yang dijangka akan diadakan pada penghujung tahun hadapan.

Gabungan yang dibentuk secara mendadak oleh PKR, PAS dan DAP membuat kejutan pada pilihanraya umum Mac 2008 dengan menamatkan majoriti dua-pertiga BN dalam parlimen selain menerajui lima daripada 13 negeri di Malaysia. .

Namun kemenangan itu di balas dengan pelbagai asakan BN termasuk rampasan kuasa di Perak dan cubaan mendakwa ahli EXCO Selangor atas tuduhan rapuh.

Segalanya memberi kesan kepada Pakatan Rakyat untuk menampilkan diri sebagai satu ketumbukan yang ampuh menentang BN yang dilengkapi dengan dokongan media arus perdana serta kawalan sepenuh ke atas dana awam dan agensi-agensi Persekutuan.

Namun Pakatan itu tetap berjaya menyelesaikan setiap pertelingkahan dalaman, dan mengambil peranan yang aktif dalam Parlimen sehingga hampir berjaya menggagalkan usul meluluskan Bajet Barisan Nasional awal minggu ini.

Sejak beberapa bulan lalu, Pakatan Rakyat dilihat semakin matang menyelesaikan percanggahan pendapat dan dokumen yang menggariskan dasar bersama gagasan yang dilancarkan hari ini adalah manifestasi kerjasama yang semakin erat itu.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP