Mungkin sudah nampak salah tanggapan masyarakat terhadap masjid akibat kita tidak kembali kepada sunnah Rasulullah saw dalam menjadikan bangunan masjid bukan sahaja tempat ibadah sebagaimana yang difahami orang sekarang.
Kekeliruan ini amat ketara kerana Umno memerintah. Sekiranya Islam memerintah pembinaan masjid adalah satu kemestian kerana ia adalah pusat pemerintahan daripada pusat pemerintahan negara, negeri, daerah hingga ke kampung-kampung.
Tidak perlu ada balai raya atau dewan orang ramai kerana ia hanya membazirkan wang. Masjid boleh menjadi pusat pentadbiran tersebut, pusat komuniti, one stop center.
Mungkin ada yang bertanya bagaimana urusan itu boleh dibuat dengan masyarakat majmuk? Masjid tidak menghalang orang bukan Islam masuk ke masjid apa lagi kawasan masjid maka ia bukan halangan untuk kita mengimarahkan masjid dan menjadikan masjid satu tempat keutamaan.
Berikut laporan Malaysiakini:
PAS: Jangan pertikai dana bina masjid
Timbalan presiden PAS menggesa isu peruntukan besar untuk pembinaan masjid, tetapi rumah ibadat bukan Islam diabaikan, tidak dibesar-besarkan lagi oleh DAP seperti diungkitkan seorang ahli parlimennya.
Nasharudin Mat Isa bimbang kenyataan wakil rakyat Taiping, Nga Kor Ming, yang juga setiausaha DAP Perak, boleh membangkitkan sentimen agama dan menimbulkan salah faham orang ramai.
Nasharudin, yang juga ahli parlimen Bachok, berkata salah faham dalam isu seumpama ini boleh "dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat."
Di Dewan Rakyat kelmarin, Nga mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008, sedangkan kerajaan didakwa gagal membina rumah ibadat agama lain dalam tempoh tersebut.
Kenyataannya itu dilaporkan dipertikaikan oleh seorang lagi ahli parlimen, Datuk Ibrahim Ali, yang menyifatkannya "biadap" dan "dan cuba menyalakan api dalam sekam".
"Dia (Nga) boleh desak kerajaan beri peruntukan lebih untuk kegiatan agama lain tetapi dia tak boleh membandingkan peruntukan yang diberi oleh kerajaan untuk pembinaan masjid.
"Apabila itu berlaku apatah lagi dibuat di luar Parlimen, maka ini sudah jadi hasutan selain satu kenyataan politik yang cuba menimbulkan pergaduhan agama," Ibrahim dipetik berkata semalam.
Dalam satu kenyataannya hari ini, Nasharudin bagaimanapun berkata orang bukan Islam berhak "menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi."
Berikut kenyataan penuh timbalan presiden PAS:
Isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Taiping, YB Nga Kor Ming dari Pakatan Rakyat mengenai persoalannya terhadap perbelanjaan pembangunan masjid oleh kerajaan persekutuan seharusnya tidak dijadikan isu yang besar oleh pihak DAP.
Sepertimana yang kita maklum, sudah menjadi hak dan tanggungjawab pihak kerajaan untuk membina masjid-masjid dan institusi-institusi agama bagi menyemarakkan syiar Islam di Malaysia sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara kita.
Namun, pihak kerajaan juga turut digesa untuk berlaku adil kepada semua rakyat dalam memenuhi keperluan mereka seperti mana yang telah digariskan dalam lunas perlembagaan negara.
Kita tidak membantah malah menyokong usaha pihak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi kerana dikhuatiri langkah tersebut akan menyinggung dan menimbulkan perasaan tidak senang hati dikalangan umat Islam Negara kita.
Beliau dan semua pimpinan Pakatan Rakyat adalah dialu-alukan untuk tidak membangkitkan sebarang isu berhubung sentimen agama dan bangsa yang seringkali disalahtafsir oleh sesetengah pihak untuk dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat.
Amatlah diharapkan agar isu-isu yang boleh menyinggung sensitiviti agama dan bangsa serta kepentingan komponen parti Pakatan Rakyat dapat diselesaikan melalui saluran dalaman yang lebih efektif.
Ini bagi mengelakkan sebarang polemik sepertimana yang pernah melanda Pakatan Rakyat sebelum daripada ini.
Apa yang penting ialah memberikan fokus sebaik mungkin kepada agenda perjuangan yang telah disepakati dalam membangunkan sebuah negara yang lebih berintegriti, berkebajikan dan beramanah.
-
0 comments:
Catat Ulasan