Sani perlu bayar 100 unta satu nyawa atau erat silaturrahim

>> Ahad, Disember 27, 2009

Sani Express Sdn Bhd perlu mencari penyelesaian terbaik terutama kepada 10 keluarga mangsa kemalangan bas syarikat terbabit yang meninggal dunia.

Pengurusan syarikat terbabit terpaksa menerima hakikat terdapat pihak keluarga mangsa kemalangan akan mengambil tindakan mahkamah menyaman syarikat bas tersebut. Itu adalah hak pengguna.

Bagaimanapun sebagai langkah sosial atau menjalin hubungan syarikat dengan pengguna pengangkutan bas tersebut supaya lebih efektif maka langkah perlu mesti diambil.

Syarikat Sani bukan sahaja perlu membayar pampasan kepada keluarga terbabit malah perlu mengadakan hubungan silaturrahim dengan keluarga terbabit.

Jalinan silaturrahim boleh dibuat dengan pelbagai cara termasuk pihak syarikat mengambil berat atau bertanggungjawab sehingga dalam soal urusan terutama kewangan keluarga mangsa terbabit dalam kemalangan.

Ini bermakna apabila timbul soal kasih sayang atau kewangan akibat kematian keluarga berkenaan maka Sani Express perlu memenuhi tuntutan tersebut.

Bertambah rahmat dan kebaikan sekiranya syarikat tersebut boleh mengambil keluarga mangsa kemalangan yang amat memerlukan dijadikan keluarga angkat syarikat terbabit.

Jalinan mesra tersebut perlu dilakukan syarikat terutama dalam menjalin hubungan berterusan dengan pengguna disamping menjaga hati keluarga mangsa.

Kerja sosial itu tidak seberapa kalau dibandingkan kehilangan nyawa orang tersayang. Kalau hendak dikira pampasan, syarikat perlu membayar bersamaan 100 ekor unta kepada satu nyawa. Kalau satu ekor unta RM5 ribu bermakna RM500 ribu perlu dibayar.

Syarikat perlu mengakui kesilapan dan bertanggungjawab kerana mengambil pemandu yang tidak amanah dalam menjaga nyawa penumpang.

Walaupun syarikat mendakwa bas dikunci had kelajuan pada 97 km/j dengan menggunakan alat khas yang dinamakan 'Speed Limiter' tetapi ia hanya disambung kepada satu fius yang boleh dicabut oleh pemandu ketika kenderaan bergerak.

Dalam soal mengantung sementara operasi syarikat terbabit, ia mungkin keterlaluan kerana hak pengguna lain yang telah membuat tempahan perlu juga diambil kira.

Syarikat juga perlu membayar hutang pinjaman serta memastikan aliran tunai agar gaji pekerja tidak tertunggak serta masalah lain yang akan timbul jika operasi syarikat itu dihentikan.

Perkara yang sudah berlaku tidak boleh diubah. Siasatan dan hukuman perlu dikenakan kepada syarikat terbabit. Maka sebaik hukuman ialah memberi keuntungan kepada keluarga mangsa bukan sekadar denda kepada pemandu dan syarikat bas.

Islam telah menunjukkan hukuman yang terbaik tanpa membelakangkan hak keluarga mangsa dengan ganti rugi 100 ekor unta.

Apakah syarikat mampu? Jika tidak berundinglah dengan keluarga mangsa dan sebaiknya adakan hubungan silaturrahim yang erat. Bukan menambah musuh disebalik hikmah tragedi yang berlaku.

Berikut berita syarikat mahu beri pampasan:

Sani Express Sedia Pampasan Untuk Keluarga Mangsa Kemalangan

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Sani Express Sdn Bhd sedia memberi pampasan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Ipoh, pada awal pagi Sabtu, bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Abu Bakar Mohammad ketika dihubungi berkata sebagai tindakan segera, Sani Express akan menyediakan peruntukan khas buat setiap keluarga mangsa.

Beliau berkata pihaknya akan menghubungi keluarga mereka yang terlibat bagi tujuan penyaluran bantuan tidak lama lagi.

Katanya bas dua tingkat milik syrikat itu yang membawa 48 penumpang berada dalam keadaan baik sebelum ia memulakan perjalanan dari Klang, Selangor pada pukul 9 malam tadi menuju ke Kuala Perlis, Perlis.

"Bas berkeadaan baik dan diselenggara dengan baik. Bas itu juga dikunci had kelajuannnya pada 97 km/j dengan menggunakan alat khas yang dinamakan 'Speed Limiter'," katanya.

Abu Bakar berkata dengan menggunakan alat itu pemandu tidak boleh memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan atau mengubah alat terbabit untuk menambah kelajuan.

"Siasatan kami juga mendapati kelajuan bas yang dirakamkan sebelum kemalangan adalah 91 km sejam," katanya.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil syarikat terhadap pemandu bas yang didakwa terlelap, beliau berkata tindakan susulan akan dibuat setelah laporan daripada polis berhubung punca sebenar kejadian diperolehi.

"Tindakan selepas ini bergantung kepada hasil siasatan polis. Jadi kena tunggu laporan (polis) itu dahulu," katanya.

Menurut Abu Bakar operasi bas milik syarikat itu juga masih berjalan seperti biasa.

Dalam kejadian pukul 1 pagi tadi, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP