KUALA LUMPUR 8 Dis. - Bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik bersedia bertemu dengan pemimpin MCA yang 'bertelagah' bagi memberi pandangan' untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan parti tersebut.
Beliau berpendapat, masih ada cara untuk pemimpin bertelagah itu menyelesaikan masalah mereka sebelum MCA menjadi lebih parah dan merugikan kaum Cina.
Katanya, walaupun sudah bersara, beliau sentiasa bersedia untuk bertemu dan memberi nasihat kepada pemimpin terbabit demi kestabilan parti
''Saya sudah lama bersara. Apa pun saya masih sedia berjumpa mereka. Atau sesiapa sahaja untuk beri mencari jalan dan pandangan menyelesaikan masalah ini.
"Tetapi pandangan saya itu tidak boleh dikongsi dengan umum. Cukup untuk mereka yang terbabit sahaja,'' katanya yang pernah menjadi Presiden MCA lebih enam penggal bermula 3 September 1986 hingga 23 Mei 2003.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek RM2 juta dan Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan syarikat Sin Heap Lee (SHL) Consolidated Bhd. di sini hari ini.
Liong Sik yang dilantik menjadi Presiden Kehormat Seumur Hidup, MCA sejak 13 Jun 2003 lalu mengakui sehingga kini belum ada mana-mana pemimpin berkenaan bertemu dengannya untuk meminta pandangan menyelesaikan kemelut parti itu.
Kata beliau, masalah yang melanda MCA itu bukan sahaja tidak sihat untuk parti tersebut tetapi bakal memberi kesan kepada Barisan Nasional secara keseluruhan pada pilihan raya umum akan datang.
''Saya tak boleh komen banyak. Sekarang terpulang kepada pemimpin-pemimpin MCA untuk bertindak.
"Mereka perlu cepat menyelesaikan masalah ini. Jangan biar lama. Tidak sihat untuk parti dan BN untuk pilihan raya akan datang,'' katanya.
-
0 comments:
Catat Ulasan