Kerajaan Persekutuan digesa menghormati perjanjian kerajaan negeri Kelantan dengan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) berhubung pembayaran 5 peratus daripada keuntungan operasi carigali petroleum di luar pantai Kelantan kepada negeri itu.
Bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah dalam blognya http://razaleigh.com memberitahu, hak yang diperuntuk perlembagaan kepada rakyat kelantan untuk mendapat royalti kini sedang dinafikan Pusat.
Keengganan pusat memberi royalti kepada Kelantan katanya bukan sahaja melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, malah lebih besar dari itu ianya akan memberi kesan dan permasalahan melaupaui negeri Kelantan.
Menurutnya, dengan menidakkan perjanjiaan antara Kelantan dengan Petronas itu, bermakna kerajaan Pusat juga menidakkan perjanjian sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat negeri tersebut.
Selain itu katanya, kerajaan persekutuan boleh dipersoal kerana dilihat cuba menafikan kewajipan Petronas untuk membayar 5 peratus kepada mana-mana negeri pengeluar minyak seperti termaktub dalam kontrak perjanjian.
Sedangkan katanya, Petronas pada hakikatnya terikat dengan kontrak tersebut dan wajib membayar jumlah 5 peratus dari keuntungan mereka secara terus kepada negeri terlibat.
Tindakan tersebut katanya menimbulkan persoalan dan boleh memberi impikasi yang lebih besar kepada negeri-negeri pengeluar minyak yang lain, khususnya Sabah dan Sarawak.
Keadaan Kelantan, Sabah dan Sarawak adalah serupa dan membuat perjanjian sama dengan Petronas.
Jika Kelantan tidak diberi hak royalti persoalan timbul adakah bermakna kedua-dua negeri di borneo itu juga bakal menerima nasib yang sama.
Beliau turut menyelar sikap kerajaan Persekutuan yang dilihat cuba campurtangan terhadap perjanjian yang dibuat antara negeri-negeri pengeluar minyak dengan Petronas.
Tindakan campurtangan itu katanya boleh mengakibatkan rakyat meragui integriti dan keihklasan kerajaan dalam menghormati kesucian kontrak dan undang-undang.
"Saya harus menegaskan bahawa PETRONAS terikat oleh mereka dan bahawa kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam pemenuhan mereka.
"Jangan bercakap tentang pelaburan untuk memacu ekonomi kita ke tahap yang lebih tinggi, jika kita gagal untuk memahami pentingnya mematuhi kewajipan kontrak," tegasnya.
-
0 comments:
Catat Ulasan