Ulama; Politik dan Mesra rakyat

>> Khamis, Disember 17, 2009

Oleh: SAIDAH HAIRAN

SABAK BERNAM: Isu politik dan agama serta ulama hanya berperanan di masjid dan surau tidak berkesudahan sehingga seringkali menjadi faktor percanggahan pendapat antara pendukung fahaman politik sekular dan pengamal politik Islam khususnya para ulama.

Senario politik semasa yang diselubungi dengan fahaman sekularisma telah mencetuskan suara-suara sumbang yang jelas cuba memisahkan antara politik dan agama serta peranan ulama.

Justeru, amat dangkal hujah yang menyatakan agama terpisah daripada urusan politik atau dakwaan mengatakan bahawa ulama tidak layak untuk melibatkan diri dalam politik.

Mengulas dakwaan tersebut, Timbalan Ketua Ulama PAS Pusat, Dato' Ahmad Yaakob menegaskan, ulama memikul amanah menyebarkan ilmu serta membimbing manusia selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Tambah beliau, kesempurnaan ilmu dan amalan para ulama menjadikan mereka sebagai jentera yang penting dalam tugas mengarah dan melibatkan diri dalam pembangunan insan dan material.

"Apakah tugas ini bukan salah satu kerja berpolitik," katanya ketika membentangkan kertas kerja, `Ulama; Politik dan Pilihan raya', dalam Tamrin Pimpinan di Hay Resort, Sabak Bernam, Ahad lalu.

Beliau berkata, dalam menghadapi suasana sekarang yang lebih mencabar dengan keperluan rakyat terhadap penyelesaian masalah berteraskan Islam golongan ulama mesti mempunyai pendirian dan ketrampilan yang hebat.

Katanya, usaha serta tanggungjawab membangunkan akidah, pemikiran, akhlak, kerohanian dan kebendaan perlu dilipatgandakan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mempersoalkan siapakah yang layak dan mampu melaksanakan tugas itu jika bukan ulama, oleh itu menjadi satu kewajiban ulama terlibat dalam kancah masyarakat dan politik dan ia bukan sekadar kerja sukarela.

Menyentuh penyertaan pilihan raya katanya, ulama bertanggungjawab melibatkan diri dalam pilihan raya dan tidak wajar membiarkan kezaliman dan penyelewengan melanda rakyat.
"Ulama perlu bangkit melawan kemungkaran dan persendaan hukum-hukum Allah yang dibuat oleh Umno," tegasnya.

Beliau berharap ulama perlu berada di barisan hadapan menentang kezaliman apabila kerajaan bertindak mengancam keselesaan kehidupan rakyat.

Sementara itu, Naib Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamed mengingatkan seluruh ulama PAS perlu mengubah pendekatan mesra rakyat dengan mendekati mereka supaya para ulama lebih disayangi dan dihormati.

Ini kerana katanya, selama ini ulama hanya dilihat berperanan dalam masjid, surau dan madrasah sehingga masyarakat melebelkan ulama sebagai pemimpin agama saja.

Menurut beliau, ulama mesti turun padang bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan, sosial dan politik supaya masyarakat lebih mengenali golongan ulama sebagai pemimpin politik, masyarakat seterusnya pemimpin negara.

Katanya, ulama merupakan pengganti para nabi bertanggungjawab menegakkan agama dan menguruskan dunia berdasarkan ajaran Islam dan ternyata tugas memimpin ummah dan negara terletak di bahu ulama.

Bagi menggalas peranan itu, katanya, ulama perlu mempunyai kekuatan fizikal, mental dan material kerana ketiga-tiga kekuatan itu amat penting bagi setiap individu.

Selain itu katanya, untuk memperkasakan ulama pengetahuan ilmu tentang internet, pengurusan, pentadbiran serta dapat menguasai bahasa Arab, Inggeris, Cina dan sebagainya.

"Kemahiran yang dimiliki oleh ulama ini boleh membantu mereka dalam menyampaikan tarbiah serta mudah difahami dan diterima oleh masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Menurut beliau, ulama jahat atau ulama dunia yang mencari makan dengan memperalatkan agama dan memperniagakan syariat mereka bukan dikalangan ulama sebenar.

"Ulama yang tidak takut Allah, tidak boleh digelar ulama begitu juga ulama yang tidak beramal dengan ilmunya juga tidak boleh digelar ulama," tegas beliau.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ulama supaya berusaha meramaikan pemimpin di peringkat kawasan dan cawangan kerana perkara itu menimbulkan masalah sehingga ulama dilebelkan sebagai lesu.

Mengulas tentang modul tarbiah yang didakwa sudah ketinggalan zaman katanya, PAS lahir pada tahun 1951 jadi tidak mustahil jika modul tarbiah itu sudah tidak relevan dengan era ini.

Justeru beliau mencadangkan supaya ulama membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula modul tarbiah yang sedia ada dan melakukan perubahan serta pembaruan sehingga ia revelan semula.

"Ulama juga perlu mengadakan talian tarbiah rohani supaya orang ramai lebih memahami dan menyokong perjuangan PAS," katanya. http://rajaida.blogspot.com/

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP