BAGI mereka yang meminati kucing, setiap kali binatang peliharaan itu datang menghampiri mereka sambil dengan mengiau dan menggeselkan badan dengan penuh manja,hati yang gundah pasti cair dan akan terbit perasaan teruja, gembira dan rasa sayang.
Namun, berlainan pula dengan seekor kucing bernama Oscar yang berpelesiran di hospital Steere House di Rhode Island, Amerika Syarikat.
Kedatangannya di tepi katil pesakit amat digeruni oleh setiap orang.
Ini kerana kehadiran kucing berwarna coklat bertompok kelabu di belakang badan dan putih di bahagian perutnya itu menandakan si pesakit bakal menemui ajal dalam masa terdekat.
Semua kakitangan dan doktor hospital itu mengetahui kelebihan kucing yang mempunyai kelebihan luar biasa ini.
Mereka tahu sudah sampai masanya untuk memberitahu ahli-ahli keluarga apabila Oscar 'melawat' si pesakit tertentu.
Jika diasingkan di luar bilik pesakit itu, kucing itu akan mencakar pintu dan dinding sebagai tanda ia ingin masuk ke bilik tersebut.
Malah sesetengah ahli keluarga memuji kucing itu kerana mereka percaya Oscar telah datang untuk memberikan sokongan moral atas kematian saudara-mara atau rakan.
Pelbagai teori dan andaian dibuat berhubung dengan kelebihan Oscar.
Ada yang berpendapat kucing tertentu memiliki keupayaan menghidu sel-sel pesakit yang sudah mati dan bakal menemui ajal tidak lama lagi.
Oscar dipercayai termasuk dalam golongan kucing istimewa yang memiliki keupayaan tersebut.
0 comments:
Catat Ulasan