Presiden PAS: Tiada percanggahan beliau dengan Nik Aziz

>> Ahad, Februari 14, 2010

Sebelum ini saya berpendapat antara dua kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diselewengkan Bernama tiada perbezaan dengan statement Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang memperluaskan skop pemahaman Islam.

Perkara ini kemudiannya dijelaskan Abdul Hadi berkata: “Sebenarnya tidak ada percanggahan antara saya dengan (Mursyidul Am PAS) Nik Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam... agama dengan politik, dengan sosial dan sebagainya.”

Sebelum itu dalam entri bertajuk Apa hal peguam PAS main isu tidak berpijak dibumi, saya berpendapat kenyataan kedua pemimpin itu tidak ada percanggahan. Cuma Nik Aziz melihat kepada Islam sedangkan Abdul Hadi memperluaskan skop kerana Islam itu syumul merupakan ad-din merangkumi kehidupan sejagat.

Persoalan dan kakalutan yang timbul apabila laporan Bernama cuba menyelewengkan kenyataan Nik Aziz maka statement balas Abdul Hadi dilihat oleh setengah pihak yang jahat terutama pemimpin PAS sendiri mengungkit kembali isu kerajaan perpaduan kerana itu ia jadi hangat dan panas kembali.

Apa salahnya kita bermuzakarah. Kitakan parti dakwah dan menjadi kewajipan kita mendakwah golongan pemimpin berkuasa, orang awam dan bukan Islam sebagaimana mengambil pendapat Dr Abdul Karim Zaidan, ketua gerakan Islam di Iraq. Tidak sentuh langsung pun soal kerajaan perpaduan.

Soalnya kenapa kita perlu terikut sentimen setengah pemimpin PAS dan penulis blog yang bodoh. Walaupun dia peguam sekalipun tetapi dia telah ulik perasaan sendiri dengan andaian yang bukan-bukan dan terpengaruh dengan tulisan blog. Pada satu ketika dia berkata tidak boleh berhukum atas dasar andaian. Apa lagi andaian itu tidak boleh dibuktikan.

Laporan berkaitan Malaysia Insider:

Dialog Umno-PAS: Hadi nafi idea beliau, Nik Aziz canggah


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 13 — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau bercanggah pendirian dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dua minggu lalu menyatakan kesediaan untuk berdialog bersama Umno bagi membincangkan soal agama tanpa melibatkan isu-isu lain.

“Sebenarnya tidak ada percanggahan antara saya dengan (Mursyidul Am PAS) Tuan Guru Datuk Nik Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam... agama dengan politik, dengan sosial dan sebagainya,” kata Hadi.

Ditanya apa yang diperkatakan orang tentang adanya percanggahan itu tidak berasas, Hadi menjelaskan, “ya, kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan.”

“Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas bumi ini,” katanya.

Hadi menjelaskan apa yang disebutkan oleh Nik Aziz ialah tentang surat yang beliau hantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kira-kira tiga bulan yang lalu.

Kata Hadi, surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek yang diperjuangkan oleh parti selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara ini.

“Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu, kita mengalami masalah politik yang belum selesai, masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah... sepatutnya dibincang apakah penyelesaiannya.

“PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri,” kata beliau dalam temu bual dengan Harakah untuk edisi 15 hingga 18 Februari.

Minggu lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sekali lagi menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya hanya bersedia duduk semeja dengan Umno bagi membincangkan soal agama tanpa melibatkan isu lain.

Ketegasan itu dilihat sebagai bercanggah dengan pandangan Hadi pada 6 Feb lalu bahawa PAS sudah lama bersedia untuk berdialog dengan Umno-Barisan Nasional, bukan sahaja dalam isu Islam tetapi juga soal-soal berkaitan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu kata Nik Aziz, kenyataan beliau jelas dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai pendirian Hadi.

“Saya tidak mahu campur tangan urusan orang lain, saya hanya hendak perbetulkan kenyataan saya sahaja.

“Yang lain itu dia punyal pasal,” kata beliau.

Hadi pula dipetik berkata, PAS sudah lama bersedia untuk berdialog dengan Umno-Barisan Nasional, bukan sahaja dalam isu Islam tetapi juga soal-soal berkaitan kepentingan rakyat.

Sebagai contoh kata Hadi, pihaknya sudah menghadiri dialog di Institut Kefahaman Islam Malaysia bulan lalu, yang merupakan salah satu badan di bawah kerajaan dan ramai pemimpin Umno hadir dalam dialog berkenaan.

Nik Aziz pertama kali membangkitkan idea itu dua minggu lalu.

Mengenai persoalan tentang kaedah bagi penyatuan kerana isu perbincangan antara PAS-Umno telah lama dibangkitkan tetapi tidak pernah menjadi kenyataan, Hadi berkata, masalah penyatuan perlu difahami dengan menyeluruh.

“Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila.”

“Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua.

“Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua, walaupun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan,” katanya lagi.

Hadi menambah PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Umno dalam perkara yang boleh dirungkai dan boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’.

“Secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip fleksibel yang ada dalam al-Quran,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Berhubung soalan bahawa PAS pernah melabelkan Umno kafir dan bagaimana hendak membetulkan pandangan itu dalam isu penyatuan, Hadi menjelaskan, pihaknya tidak pernah “menentukan si anu bin si anu kafir.”

“PAS menyatakan batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang ‘Aqidah Muslim’.

“Dan, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab ‘Mustika Hadis’. Jilid yang pertama menyatakan batas-batas iman dan kufur.

“Di sana ada dinyatakan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa,” katanya.

Oleh itu menurut Hadi, PAS tidak boleh menentukan siapa kafir melainkan melalui badan kehakiman secara Islam yang sah.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP