Raja Nong Chik hina penduduk kampung tradisi sebagai usang

>> Isnin, Februari 08, 2010

Layakkah penduduk Kampung Chubadak dan Kampung Padang Balang yang satu ketika aktif menyumbang tenaga dan buah fikiran membangun negara tiba-tiba dipanggil masyarakat usang.

Dalam ucapan perbahasan di Dewan rakyat, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata: "Kampung Chubadak dan Kampung Badang Palang seperti kampung tradisi yang lain di Kuala Lumpur menghadapi masalah kekurangan pembangunan dan kualiti persekitaran fizikal kawasan yang rendah dimana pembangunan kawasan tidak teratur. Kemudahan infrastruktur dan masyarakat sedia ada yang usang tidak mencukupi berbanding dengan kawasan lain."

Saya mendapat laporan hansard Parlimen bertarikh 7 Disember 2009 yang diagihkan kepada para jemaah solat Jumaat minggu lepas dan terbaca ayat tersebut. Saya menunjukkan kepada beberapa orang kawan di situ. Mereka pun terkejut.

Semasa saya temui Pengerusi Masjid Saidina Ali Kampung Padang Balang, Haji Zainal Abidin Maas menyuruh saya membesarkan isu ini dengan mempersoalkan apa maksud sebenar ucapan Raja Nong Chik itu.

Kalau ia bermaksud menghina penduduk Kampung Badang Palang maka sepatutnya Raja Nong Chik meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

Dalam masa berbual di pejabat masjid tersebut, saya turut mencelah, apa ahli parlimen Melayu buat. Kalau ahli parlimen Melayu daripada kerajaan, mungkin sudah tidak sensitif tetapi ahli parlimen Melayu pembangkang daripada PAS dan PKR dok buat apa... tidur ke.

Samput orang veteran kampung: "Mungkin Kampung Padang Balang ni kecil dia orang tak kenal."

Saya pun kurang arif maksud kata-kata beliau sama ada nak dia pertahan ketidakpekaan ahli parlimen pakatan rakyat (PR).

Namun apa yang jelasnya dalam hansard tersebut ahli parlimen yang mempertahan dan memperjuangkan kampung tradisi ini ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Wang Maju, Wee Choo Keong. Kedua mereka ini daripada PKR.

Apakah ahli parlimen Melayu tidak sedar siapa penduduk Kampung Padang Balang dan kampung tradisi?

Majoriti penduduk kampung tradisi adalah orang Melayu. Atau apakah tidak sensitif ahli parlimen Melayu terutama daripada kerajaan kerana ada agenda nak rampas tanah orang Melayu?

Atau apakah dalam PR pun sudah ada agihan tugas iaitu ahli parlimen Melayu PR kena bela orang bukan Melayu dan ahli parlimen bukan Melayu bela orang Melayu. Betul ke?

Kita kesal dengan sikap ahli parlimen Melayu baik dari kerajaan atau PR yang tidak sensitif mahu menyatakan bantahan kepada Raja Nong Chik yang membuat ucapan penghinaan itu.

Laporan sebahagian ucapan menteri berkenaan yang terdapat dalam hansard parlimen bertarikh 7 Disember 2009 itu disebarkan kepada penduduk kampung pada Jumaat lalu bagi menyatakan bukti bahawa ucapan menteri berkenaan di parlimen memberitahu soal pengambilan tanah tidak timbul. Ia terpulang kepada pemilik tanah itu sendiri.

Raja Nong Chik berkata Draf Pelan DBKL 2020 telah mencadangkan pengezonan semula Kampung Chubadak dan Kampung Padang Balang sebagai zon kediaman kepadatan sederhana iaitu R2. Cadangan pengezonan semula memberi peluang meningkatkan potensi nilai ekonomi tanah dikawasan itu.

Cadangan pengezonan ini tidak melibatkan pengambilan tanah langsung dan untuk digunakan untuk awam dan infrastuktur manakala tanah yang dizonkan sebagai zon kediaman dan perniagaan tidak akan diambil. Terpulang kepada pemilik tanah sendiri untuk membangunkan lot mereka mengikut zon tanah yang dicadangkan oleh draf tersebut.

Sebelum ini penduduk Kampung Padang Balang telah menghantar memorandum kepada Raja Nong Chik membantah draf pelan bandar raya Kuala Lumpur 2020 yang menganggap rumah penduduk Kampung Padang Balang usang dan bertaraf setinggan.

Raja Nong Chik menyelesaikan isu itu dengan menyifatkan salah faham penduduk dengan kenyataan yang dibuat Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, mengenai kedudukan penduduk kampung itu.

Raja Nong Chik berkata, beliau sendiri sudah ke Kampung Padang Balang memaklumkan kebanyakan penduduk kampung itu penduduk kampung tradisi dan kampung rizab Melayu, tetapi kampung berdekatan adalah setinggan.

Kat mana kampung setinggan itu wahai Raja Nong Chik?

Raja Nong Chik kemudiaannya turut mengarahkan pegawai DBKL mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Padang Balang untuk memberi penjelasan mengenai salah faham berhubung isu hak milik tanah penduduk di kawasan itu serta pengunaan istilah peneroka bandar.

Sehingga sekarang isu ini masih senyap lagi ibarat kata orang berehat sekejap selepas penat bertempur. Barangkali selepas ini ada lagi peluru yang hendak dihentam penduduk kampung.

Bagaimanapun bila tengok PM Najib kata penduduk Kampung Baru akan dapat RM4 juta seorang. Wah seronok ni tetapi hati-hati pasal peneroka felda sungai buaya pun dijanjikan jutawan tetapi sampai sekarang masih merempatwan kerana tanah sudah tergadaiwan.

Bagus la kalau betul tanah penduduk kampung baru tidak dirampas maknanya tanah penduduk kampung baru tetap milik mereka dalam masa yang sama mereka menikmati pembangunan hasil daripada tanah mereka.

Ini yang kita mahu dan apa yang dijanjikan Raja Nong Chik dalam hansard parlimen iaitu tanah penduduk tidak akan diambil untuk membangunkan perkampungan.

Jika sekiranya kerajaan merampas tanah mereka maka tidak ada lagi tanah milik orang Melayu dibandar sedangkan bangsa lain pula yang ambil alih kerana nama sebuah pembangunan.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP