Negeri ada minyak dapat hak royalti 5% jika bagi Petronas urus

>> Khamis, Februari 04, 2010

“Sebab itu kita buat Akta Kemajuan Petroleum itu, menyatakan bahawa kalau jumpa minyak di offshore di mana-mana negeri, maka negeri itu akan mendapat lima peratus sekiranya negeri-negeri itu meletak hak seluruh hasil minyak kepada Petronas. Jadi, jelas, tidak ada apa yang hendak dipertikaikan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, formula pemberian lima peratus daripada hasil minyak kepada negeri-negeri berkaitan, adalah hasil rundingan dengan Ketua Menteri Sarawak Abdul Rahman Yaakob yang pada masa itu, mendakwa kerajaan pusat tidak ada hak ke atas minyak di Sarawak.

“Tun Razak seronok sangat kerana Pantai Timur boleh dapat faedah walaupun tidak nampak tanda-tanda ada minyak, tapi tahu sekurang-kurangnya di offshore.

Beliau berkata demikian menceritakan pada zaman pemerintahan, Tun Abdul Razak sememangnya mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur untuk membangunkan Kelantan, Terengganu dan Pahang selain di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berharap Petronas menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan tidak berdolak-dalik berhubung pembayaran royalti minyak kepada Kelantan.

“Saya bukan hendak paksa Petronas atau kerajaan pusat bayar kepada kerajaan negeri (Kelantan) tapi ini mereka (Petronas) sendirilah kena mengikut perjanjian itu.

“Dia (Petronas) telah menerima amanah ini dan tidak boleh hendak berdolak dalik dan kena menasihat kerajaan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan. Kalau tidak, apa ertinya ada perjanjian antara negeri-negeri dan apa ertinya persekutuan,” katanya, semalam dalam temubual isu royalti dengan Bernama, di Kuala Lumpur.

Menjawab dakwaan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah daripada apa yang dikatakannya 10 tahun lepas mengenai isu yang sama, Tengku Razaleigh berkata: “Saya tidak pernah kata itu, takkan saya nak bercakap bercanggah dengan apa yang saya buat. Saya tidak nyanyuk lagi.”

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan berucap pada malam ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Mohamad IV di sini Khamis lepas.

Antara intipati ceramah beliau, menyebut mengenai Kelantan layak untuk menerima royalti minyak, iaitu bercanggah daripada keputusan kerajaan berhubung isu terbabit.

Bekas pengerusi Petronas itu, menjelaskan kehadiran beliau memberi ceramah di Stadium Sultan Mohamad IV adalah atas jemputan 52 badan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan dan Terengganu, bukannya di pentas kerajaan negeri pimpinan PAS.

Malahan, beliau turut menegaskan bahawa kedatangan beliau itu adalah untuk menunaikan amanah allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua yang mahu hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sekiranya terdapat minyak di pesisiran pantai negeri berkenaan.

“Saya bukan hadir perhimpunan di Kelantan itu kerana saya hendak sokong PAS... Tidak... Saya ahli Umno.

“Kebetulan saya bekas Pengerusi Petronas yang asal dari Kelantan. Kalau rakyat di sana hendak saya jelaskan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974, apakah saya tidak patut pergi? Saya kena bagi penerangan. Saya bukan fikir soal Kelantan sahaja, tapi juga soal seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP