Ku Li konsisten tuntut royalti minyak Terengganu lagi

>> Selasa, Februari 02, 2010

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menempelak pemimpin Umno yang menuduh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kononnya `Ku Li dahulu cakap lain sekarang cakap lain', kerana Ku Li sentiasa konsisten sejak kes royalti di Terengganu ditukar menjadi wang ihsan oleh Barisan nasional (BN).

"Tengku Razaleigh amat konsisten soal royalti minyak termasuk diperolehi kerajaan Terengganu malah Tengku Razaleigh pernah menyatakan kesanggupan menjadi saksi dalam kes tentutan royalti minyak oleh kerajaan negeri Terengganu ketika ditadbir PAS menerusi Barisan Alternatif pada 1999," ujarnya.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur, semalam, Mustafa Ali menjelaskan bahawa kenyataan disentuh Dr Awang tidak tepat dan mengelak Tengku Razaleigh menjadi mangsa percakapan yang tidak adil.

Menurut beliau sebelum ini Terengganu memperolehi wang royalti sejak 1978 yang dibayar terus kepada kerajaan negeri oleh Petronas sebanyak 5 peratus dan 5 peratus lagi kepada kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, pembayaran itu dihentikan pada September 2000 selepas Terengganu diperintah PAS yang memaksa kerajaan negeri memfailkan tuntutan ke mahkamah pada 8 Mac 2001.

“Kerajaan negeri antara lain diwakili peguam Tun Salleh Abbas dan Tomy Thomas. Ku Li ketika itu kata sedia jadi saksi kerajaan Terengganu melawan Petronas dan kerajaan Pusat,” katanya.

Mustafa mendakwa Petronas dan kerajaan Pusat memohon ke Mahkamah Rayuan supaya kes ini dibicarakan hanya membabitkan undang-undang tanpa perlu saksi.

“Mahkamah kemudian benarkan permohonan itu. Bagaimanapun, selepas BN dapat semua Terengganu pada 2004, walaupun dah dua tiga kali bicara. Cuma masa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri), ada sebut nak beri balik,” katanya.

Menurutnya, PAS ada berjumpa Menteri Besar minta kes itu jangan ditarik balik kerana mahu rakyat Terengganu mendapat hak mereka.

“Semua ini saya sebut kerana membuktikan Ku Li sepanjang masa bersedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan Terengganu. Bagaimana ada pemimpin Pusat kata dia tidak konsisten?

“Ku Li memihak kebenaran fakta bukan sokong PAS. Lagipun beliau bertanggungjawab kerana beliau pernah jadi Pengerusi Petronas dan tahu undang-undang mengenai royalti ini,” katanya.

Mustafa berkata, tindakannya menjelaskan pendirian Tengku Razaleigh itu kerana beliau terlibat secara langsung dalam isu berkait di Terengganu.

Beliau menegaskan yang tidak konsisten adalah kerajaan Pusat kerana pernah memberikan Terengganu royalti dan kemudian ditukar wang ihsan dan keadaan sama kini dihadapi Kelantan.

Menurut pemimpin PAS itu, jika Ku Li sanggup naik pentas menyatakan perkara itu, beliau yakin ahli parlimen Gua Musang itu sanggup jadi saksi jika kes itu dibawa ke mahkamah oleh kerajaan Kelantan.

Sebelum ini, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek mendakwa terdapat laporan akhbar nampak macam tindakan Ku Li yang juga bekas menteri kewangan itu bertentangan dengannya 10 tahun lalu.

Sementara itu Ku Li Isnin dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata beliau sedia mengadapi apa jua tindakan Umno berhubung pendiriannya mengenai isu royalti minyak.

Katanya isunya bukan beliau tetapi menyangkut soal undang-undang dalam Akta Pembangunan Petroleum yang memberi hak kepada Kelantan dan Terengganu terima lima peratus royalti minyak yang ditemui di persisir pantai.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP