Najib rancang lulus dakwat kekal?

>> Rabu, Januari 27, 2010

Melihat kepada kesungguhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pengundian awal bukan sahaja kepada anggota keselamatan tetapi juga meliputi doktor, jururawat, wartawan, juruterbang dan kakitangan penerbangan, maka tidak hairan kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia meluluskan desakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menggunakan dakwat kekal.

Mereka yang terlibat dengan sektor tersebut mengundi awal sebagaimana yang dilakukan anggota keselamatan. Kemudian pada hari pengundian awam, mereka ini diperguna sekali lagi untuk mengundi.

Maka berlaku pengundian berganda. Lagipun tuntutan kedua Bersih supaya pembersihan daftar pemilih sampai sekarang tidak mampu dilakukan SPR. Masih banyak kes satu penama mampu mengundi 10 kali. Orang mati pergi mengundi di pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Oleh yang demikian maka tidak menjadi halangan bagi kerajaan Umno meluluskan tuntutan pertama Bersih iaitu penggunaan dakwat kekal lalu diambil kesempatan Umno untuk mewar-warkan kebaikannya dalam kesediaan memenuhi cadangan PR.

Tarik tali Umno semakin hebat sejak SPR mula mengumumkan untuk menambah sektor lain dalam kerajaan dan swasta sebagai pengundi pos seperti mana anggota keselamatan. Bagaimanapun cadangan tersebut mendapat bantahan kuat kerana bertentangan dengan desakan Bersih pada November 2007 supaya memansuhkan undi pos.

Nampaknya SPR tidak bersedia memenuhi tuntutan Bersih sebalik SPR mereka cipta pelbagai cara untuk memenuhi nafsu Umno dan memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Sebagai badan bebas sepatutnya SPR mengemukakan idea yang boleh mendatangkan keadilan kepada semua parti.

Bersih sebelum ini menuntut empat perkara iaitu:

1.Penggunaan Dakwat Kekal
2.Pembersihan Daftar Pemilih
3.Pemansuhan Undi Pos
4.Akses Kepada Media

Bagaimanapun sehingga sekarang tiada satu pun dipenuhi SPR. Apakah rakyat perlu turun padang sekali lagi kerana Umno seperti `Melayu mudah lupa'?

Ikuti laporan berkaitan:

SPR perlu bersih daftar pemilih, guna dakwat kekal
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Wanita Keadilan menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menumpukan usaha ke arah pembersihan Daftar Pemilih dan penguatkuasakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang untuk meningkatkan keyakinan orangramai terhadap SPR sebagai badan bebas yang menjalankan pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Biro Pilihan Rayanya, Rodziah Ismail memandang serius kenyataan Timbalan Pengerusi SPR berhubung kajian untuk melaksanakan pengundian awal bukan sahaja kepada anggota keselamatan tetapi juga meliputi doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan.

“Adakah ini jawapan SPR kepada kontroversi Undi Pos yang mengalami krisis kewibawaan akibat Daftar Pemilih yang tidak diyakini bersih, proses pengundian yang tidak telus dan undi yang tidak rahsia?

“Bila pula terdapat laporan bahawa golongan pekerja ini menghadapi kesulitan untuk membuang undi sebelum ini sehingga SPR mengambil langkah yang sebegitu penting ini sebagai persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-13?” tanya beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga Atau juga mempersoalkan adakah tindakan itu diambil berdasarkan ’khabar angin’ semata-mata sama seperti keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lepas.

Sehingga kini, katanya SPR masih membisu apabila Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lepas dengan hanya bersandarkan ’khabar angin’ dan bukan atas sebab-sebab keselamatan.

Menurutnya, SPR sepatutnya berusaha untuk meningkatkan kewibawaan kepada proses pengundian pilihan raya yang dijalankannya dengan belajar dari pengalaman negara-negara lain tentang proses pilihan raya yang lebih telus dan cekap.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP