KDN jawab tuduhan blog nanBinjai, tidak serius

>> Selasa, Januari 12, 2010

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan tuduhan bahawa kerajaan tidak cukup tegas dan pasif dalam menangani kejadian membakar gereja di negara ini.

Sebelum ini blog nanBinjai menuduh pihak polis tidak serius dalam posting bertajuk Tiba-tiba polis jadi Hishamuddin... aauuu!

Polis tidak tegas menjalankan siasatan terhadap kejadian bakar gereja sama juga dengan penyebar sistem pesanan ringkas (SMS).

Hishammuddin berkata jika di negara lain, ketika ini mungkin sudah diisytiharkan darurat atau perintah berkurung, bagaimanapun keadaan tidak sampai ke tahap itu di Malaysia disebabkan langkah-langkah awal bagi memastikan insiden itu tidak berlarutan telah diambil oleh kerajaan.

Katanya justeru adalah tidak adil mengatakan keadaan di negara ini tidak terkawal kerana kerajaan sentiasa bersedia melakukan yang terbaik dalam mengekalkan ketenteraman rakyat dan keselamatan negara ini.

“Namun, usaha ini tidak datang bergolek, sebaliknya kita perlu lebih peka dengan bersandarkan kepada tiga faktor utama iaitu pendirian kerajaan, komitmen pihak berkuasa dan kematangan rakyat dalam berhadapan dengan isu tersebut,” katanya.

Hishammuddin berkata KDN juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil kedutaan asing di ibu negara pagi tadi di Putrajaya bagi menjelaskan perkembangan dan situasi sebenar yang berlaku di negara ini.

“Dalam pertemuan tersebut, kita memaklumkan situasi terkini dan mereka juga diberi peluang untuk bertanya apa sahaja agar di kemudian hari tidak wujud persepsi negatif oleh negara luar terhadap negara kita.

“Ini penting bagi memastikan tiada pihak, terutama di luar negara cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan dan mengeluarkan pelbagai kenyataan bercanggah bertujuan memburukkan lagi keadaan hingga menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hishammuddin turut menegaskan kerajaan tidak berniat menyembunyikan apa-apa fakta dan maklumat berhubung insiden serangan di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati baru-baru ini.

“Kita sudah mempunyai petunjuk atau maklumat untuk mengenalpasti suspek tertentu yang bertanggungjawab ke atas kes tersebut bagaimanapun saya tidak boleh mendedahkan apakah petunjuk itu kerana ia akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Beliau berkata orang ramai termasuk pemimpin dan ulama serta penganut-penganut agama lain diminta agar memaklumkan kepada polis sebarang maklumat dan keadaan yang mencurigakan supaya tindakan berjaga-jaga boleh dijalankan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan orang ramai agar tidak melayan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengajak orang ramai mengadakan tunjuk perasaan dengan berhimpun secara haram Rabu ini di Gereja Assumption Petaling Jaya.

Beliau berkata SMS yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sengaja membangkitkan sentimen keagamaan dan orang ramai diharap agar tidak terbuai emosi dengan menurut apa sahaja hasutan yang disebarkan.

“Polis telah menyusun beberapa kaedah untuk menangani insiden terbabit justeru berhimpun secara haram tidak akan membantu meredakan suasana tetapi hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Justeru sesiapa sahaja yang berdegil dan tetap berhimpun secara haram akan dikenakan tindakan tegas, jangan membuat tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan suasana tegang,” katanya. — Bernama

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP