Kalau Melayu Islam kuat rokok malu kita!

>> Khamis, Januari 14, 2010

Terdapat laporan mengatakan orang Melayu Singapura kuat merokok berbanding bangsa lain. Kenapa begitu? Bukankah orang Melayu di Singapura juga Islam?

Apakah orang Melayu Islam sudah kurang pegangan pada hukum. Walaupun terdapat kalangan ulama memakruhkan rokok namun tidak kurang juga yang berpendapat haram.

Malah pendapat haram lebih majoriti daripada makruh tetapi kenapa orang Melayu Singapura lebih ramai merokok daripada bangsa lain.

Orang bukan Islam kurang merokok kerana pengetahuan dia tentang bahaya rokok kepada kesihatan dan pembaziran atau kewangan.

Orang Islam yang kuat pegangannya tidak merokok dan berhenti merokok kerana haram. Sebahagian juga berhenti merokok kerana kesihatan dan sebilangan kecil berhenti rokok kerana pembaziran atau kewangan.

Maknanya bagi orang Islam banyak sebab tidak merokok berbanding bukan Islam hanya dua sebab. Sebab yang paling kuat ialah pegangan agamanya iaitu kerana hukum haram.

Sekiranya pegangan ini kuat tidak payah kerajaan tunjuk gambar buruk dekat kotak rokok. Memang dia tidak pandang pun. Ini taraf bila dengar haram arak maka ditendangnya tempayan arak.

Namun Allah SWT faham perangai manusia yang ketagihan arak maka diambil pendekatan pengharaman secara berperingkat-peringkat.

Kalau berhenti merokok mengambil pendekatan macam ini bermakna orang Melayu Islam makin kurang merokok tetapi kenapa ia lebih ramai daripada bangsa lain?

Inilah menunjukkan orang Melayu Islam sudah kurang pegangan Islamnya. Orang ini terpaksa ditunjuk dalil merokok merbahayakan kesihatan dan pembaziran wang barulah mahu berhenti merokok.

Berbanding orang kuat pegangan dia tidak perlu kepada dalil sedemikian tetapi cukup dengan dalil yang menghukumkan haram. Kerana apa? Itu pegangan orang Islam yang menjadikan Islam lebih bermaruah.

Berikut laporan rokok di Singapura:

Melayu Singapura Kuat Merokok

SINGAPURA: Jumlah Melayu Singapura yang merokok mengatasi jumlah perokok daripada kaum Cina dan India di negara ini, kata Kementerian Kesihatan.

Kementerian berkenaan berkata jumlah perokok Melayu adalah sekali ganda melebihi dua kaum itu.

Lelaki Melayu berusia 30 hingga 39 tahun merupakan golongan paling ramai menjadi perokok iaitu 49 peratus berbanding 19 peratus kaum Cina dan 12 peratus kaum India, kata kementerian itu di parlimen Singapura.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu bagaimanapun berkata jumlah perokok wanita di negara ini hanya berjumlah satu angka peratusan, tetapi daripada jumlah keseluruhan, wanita muda Melayu yang merokok berjumlah 14 peratus.

Kementerian itu berkata lebih separuh daripada perokok wanita berusia bawah 29 tahun dan kadar merokok dalam kalangan mereka meningkat dengan ketara daripada lima peratus pada 1998 kepada sembilan peratus pada 2007. Kata kementerian itu walaupun jumlah perokok di Singapura adalah antara yang terendah di dunia, tetapi usaha melalui Program Kawalan Merokok Nasional yang dilaksanakan sejak 1970an berjaya mengurangkan jumlah perokok di negara ini daripada lebih 25 peratus kepada bawah 14 peratus sekarang.

Jumlah rakyat Singapura yang merokok sekarang ialah kira-kira 360,000 orang, kata kementerian itu.

Walaupun jumlah itu kecil berbanding di negara lain, kementerian berkenaan meminta kerajaan terus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan usaha mengekang tabiat merokok seperti mengenakan kadar cukai yang tinggi bagi tembakau.

Selain itu, beliau turut akan mengemaskini peraturan kawalan tembakau dari semasa ke semasa, mengenakan larangan merokok di tempat awam, menyediakan khidmat bantuan berhenti merokok dan mendidik rakyat Singapura tentang bahaya merokok.

Kementerian itu berkata ia juga melaksanakan kempen antimerokok secara berterusan yang ditumpukan terhadap lelaki Melayu.- BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP