Oleh G. Manimaran dan Debra Chong
KUALA LUMPUR, Jan 10 - Saifuddin Nasution Ismail, orang kanan kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai setiausaha agung yang baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa bulan depan.
Keputusan pelantikan beliau diumumkan pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di sini malam tadi.
Saifuddin, 47, juga merupakan pengarah pilihan raya PKR. Sehingga pertengahan tahun lalu beliau menyandang jawatan pengarah strategi.
Pelantikannya juga dilihat sebagai usaha untuk mengekalkan keutuhan parti ini menjelang pilihan raya umum ke-13 memandangkan beliau pernah menyandang jawatan pengarah strategi dan pengarah pilihan raya.
Dengan keputusan itu PKR menerima surat Datuk Salehuddin Hashim yang mahu meletakkan jawatannya.
“Sahabat saya Datuk Salehuddin pilih untuk berundur sebagai setiausaha agung setelah berkhidmat cemerlang enam tahun. Terima kasih saudara.
“YB Saifuddin dipilih sebagai setiausaha agung, tahniah,” kata Anwar dalam makluman twitter malam tadi.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang akan mengambil alih jawatan itu 1 Feb ini.
Percubaan untuk mendapatkan reaksi Saifuddin gagal.
Beliau akan menggantikan Salehuddin yang memutuskan untuk berundur mulai 31 Jan ini.
Salehuddin telah menghantar surat peletakan jawatan Rabu lalu.
The Malaysian Insider difahamkan keputusan pelantikan Saifuddin diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dan biro politik parti itu.
Anwar menghadiri mesyuarat-mesyuarat ini.
“Pengumuman ini diterima secara sebulat suara oleh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi parti... Salehuddin dan Saifuddin telah memperlihatkan hubungan yang baik selama ini, jadi pucuk kepimpinan tidak menghadapi masalah untuk memilih Saifuddin menggantikan Salehuddin... begitu juga pandangan sebahagian besar anggota Majlis Pimpinan Tertinggi,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.
Difahamkan Saifuddin dilantik bagi meneruskan kesinambungan pengurusan sekretariat parti yang digerakkan oleh Salehuddin selama enam tahun termasuk sebagai setiausaha pengelola selama empat tahun sejak 2004.
Saifuddin menjadi orang kepercayaan dalam banyak keputusan diambil oleh Anwar selaku sebagai Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, termasuk menyelaraskan konvensyen sulung Pakatan Rakyat bulan lalu.
Saifuddin memenangi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Lunas, Kedah pada 29 Nov 2000. Dalam pilihan raya umum Mac 2008 Saifuddin telah bertanding di kerusi Parlimen Machang di Kelantan dan mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Sazmi Miah.
-
0 comments:
Catat Ulasan