Alahai! sinisnya Mahathir

>> Sabtu, Januari 09, 2010

Makin berisi politik Tun Mahathir Mohamad. Licik macam belut. Sampai Najib pun bengang sama ada nak sekat ke tidak. Nak buat suruhanjaya ke tidak.

Mahathir tidak perlu buat road show nak bersih nama dia dalam buku yang menuduh beliau bazirkan RM100 billion. Cerita disebar pada orang Melayu apabila Tengku Razaliegh Hamzah dedahkan dalam satu majlis.

Cukup bagi Mahathir buat sindiran konon nyatakan dia setuju tubuh suruhanjaya siasat dia dan Pak Lah siapa yang lebih banyak bazirkan wang.

Bawah ni laporan tersebut:

Mahathir ‘kecewa’ tiada suruhanjaya, desak KDN lepaskan buku Wain

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 9 — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan “kecewa” dengan keputusan kerajaan tidak mahu menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat tuduhan penulis Barry Wain bahawa beliau telah membazirkan RM100 bilion sepanjang 22 tahun kepimpinannya.

Malah beliau mahu Kementerian Dalam Negeri melepaskan buku tulisan Wain untuk pasaran bagi orang ramai mengetahui dakwaan penulis itu bahawa Malaysia, orang Melayu dan pemimpinnya diktator, korup dan rasis.

Sehubungan itu Dr Mahathir yang melepaskan jawatan perdana menteri pada Oktober 2003 mendakwa sudah tentu Wain gembira dengan keputusan tersebut yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

"Kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kehilangan RM100 bilion duit kerajaan dan apa yang terjadi dengan RM270 bilion diterima oleh kerajaan (ketika kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi) daripada Petronas," kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

"Sekarang saya tidak boleh membersihkan nama saya ataupun Abdullah boleh membersihkan nama beliau.

"Barry Wain mesti sangat gembira. Dia boleh memfitnah sesiapa saja dia suka dan tiada apa-apa yang akan berlaku ke atas dia," kata beliau lagi.

Pertengahan bulan lalu, Dr Mahathir menyahut cabaran penasihat DAP Lim Kit Siang dengan meminta kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi meneliti dakwaan Wain dalam bukunya "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times".

Dr Mahathir mengenakan syarat suruhanjaya itu juga perlu menyiasat apa sudah terjadi dengan wang RM270 bilion yang diterima oleh kerajan di bawah kepimpinan pengganti beliau Abdullah.

Pada 29 Dis lalu, Najib berkata suruhanjaya diraja tidak perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan seorang penulis Barat kononnya Dr Mahathir telah membazirkan RM100 bilion.

"Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja... tetapi dalam hal ini, tak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.

"Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh," katanya.

Sebelum ini Dr Mahathir menafikan jumlah kerugian akibat kes-kes yang disenaraikan oleh Wain dalam bukunya boleh mencecah RM100 bilion.

Dalam tulisan terbarunya ini, Dr Mahathir berkata apabila beliau mengulangi keputusan mahkamah mengenai kes bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media, beliau disaman RM100 juta.

"Sudah lebih tiga tahun dan kes ini masih belum diselesaikan," katanya.

Dr Mahathir menambah kerajaan sehingga kini belum melepaskan buku tersebut untuk jualan.

Sambil mengaku beliau telah membaca kandungan buku ketika di peringkat pruf, Dr Mahathir ada baiknya ia ditelaah oleh orang ramai.

Malah kata beliau buku berkenaan seharusnya diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia.

"Ada baiknya untuk mengetahui apa yang dia (Wain) fikir tentang Malaysia, orang Melayu, Umno dan sudah tentu diktator agung macam saya.

"Tiada negara yang lebih busuk, lebih rasis, tiada pihak lebih korup berbanding Malaysia, orang Melayu dan Umno.

"Sudah tentu tiada Perdana Menteri yang menyalahgunakan kuasa berbanding perdana menteri Malaysia yang memimpin selama 22 tahun," kata beliau sambil menyindir, "Malaysia seharusnya kembali sebagai negara jajahan British."

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP