Apakah Bernama melapor secara lembut atau Ketua Polis Negara (KPN) terkenan dengan Hishamuddin? Jelas tajuk tersebut macam gosok belakang berlainan dengan apa yang kita kenal dengan KP: "Amaran... tangkap...!"
(Gambar: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menunjukkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan terdapat golongan tertentu yang akan membakar kereta-kereta di kawasan Brickfields jika kereta-kereta terbabit mempunyai tasbih dan mempunyai artikel berunsurkan agama kristian selepas mengadakan sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan SMS palsu yang disebarkan oleh pihak tertentu yang sengaja membangkitkan sentimen keagamaan dan menimbulkan rasa takut. -Foto BERNAMA)
Sehubungan itu, KPN mendakwa beliau turut menerima SMS tersebut menunjukkan penghantar SMS bukan calang orang. ada akses tu dan polis kata ada kepakaran boleh tangkap penyebar SMS palsu dengan pantas.
Lapor Bernama `Jangan Terpengaruh SMS Palsu, Kata KPN'
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang disebarkan oleh pihak tertentu yang sengaja membangkitkan sentimen keagamaan dan menimbulkan rasa takut.
KPN, Tan Sri Musa Hassan berkata terdapat pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan insiden membaling bom petrol di tiga buah gereja dengan menyebarkan SMS palsu bagi menakut-nakutkan orang ramai.
Bagus KPN ingatkan orang ramai tetapi jangan bersikap double standart. Bila SMS yang dilaporkan palsu dan negetif kepada BN dan Umno polis cepat-cepat buat tangkapan tetapi kali ini polis macam tak bersungguh nak siasat.
Kenyataan polis itu cuma sekadar ingatkan rakyat jangan terpengaruh SMS palsu. Sepatutnya polis buat kenyataan tegas dan ugut memberi amaran kepada pihak yang membuat dan menyebar SMS palsu sebagai mana steatment yang lepas-lepas polis sering beri amaran orang buat SMS palsu.
Kenapa kali ini lembut semacam bunyi suara polis macam dah jadi geng bekas Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein atau nak berubah ikut stail Hishamuddin.
Bunyi suara polis sebelum ini. Polis beri amaran jangan sebar berita palsu
PORT DICKSON: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini memberi amaran kepada pihak yang menyebarkan berita palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kekecohan yang kononnya akan berlaku di Bagan Pinang esok supaya segera menghentikan perbuatan itu.
Beliau berkata, polis telah menyiasat secara terperinci dan mendapati semua maklumat dalam berita itu tidak benar. "Perbuatan ini salah dari segi undang-undang dan memberi gambaran yang tidak tepat yang boleh mengeruhkan ketenteraman awam," katanya pada sidang akhbar.
Manakala yang ini pulak terus tangkap sebar SMS palsu: Kes Sharlinie: amah indon di tangkap sebar SMS palsu
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang ditahan reman sejak seminggu lalu kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kehilangan Sharlinie Mohd Nashar didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan sengaja melakukan ugutan jenayah dengan mengancam dan mendatangkan ketakutan terhadap bapa mangsa.
Sudarwanti, 27, yang menangis teresak-esak hanya menganggukkan kepalanya sebelum mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Izralizam Sanusi.
Di Johor pula JOHOR BAHRU: Polis memberi amaran akan menahan mana-mana pihak yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk hasutan dan fitnah tentang kejadian pergaduhan di sebuah sekolah di Pekan Nanas, Pontian dua hari lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mokhtar Shariff, berkata polis mempunyai kepakaran untuk mengesan mereka yang menyebarkan SMS terbabit. "Penyebar SMS boleh ditahan di bawah Akta Hasutan, Akta Multimedia dan lain-lain lagi.
Banyak lagi kat maya tapi malas dah nak kutip tetapi tang kali ni lembutnya ketua polis kita.
Jangan Terpengaruh SMS Palsu, Kata KPN
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang disebarkan oleh pihak tertentu yang sengaja membangkitkan sentimen keagamaan dan menimbulkan rasa takut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata terdapat pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan insiden membaling bom petrol di tiga buah gereja dengan menyebarkan SMS palsu bagi menakut-nakutkan orang ramai.
"Saya juga telah menerima SMS daripada seseorang pada pukul 4.34 petang ini, SMS itu berbunyi 'Tolong simpan semua tasbih dan semua artikel keagamaan dari kereta anda sekarang, mereka memecahkan kereta. Bermula di kawasan Bangsar. Bantahan masih berjalan dan bergerak ke Shah Alam'... Saya sedang menyiasat SMS ini kerana ia menimbulkan perasaan takut," katanya.
Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini, beliau meminta sesiapa yang menerima SMS seperti itu agar tidak mudah mempercayainya dan membuat laporan polis serta mendapatkan kepastian terlebih dahulu daripada mana-mana balai berdekatan dan bukannya menyebarkan SMS itu.
Berkenaan demonstrasi yang diadakan selepas solat Jumaat hari ini, Musa berkata hanya 10 buah masjid yang dijadikan lokasi perhimpunan iaitu tiga di Kuala Lumpur, empat di Selangor, dua di Pahang dan satu di Terengganu.
Beliau berkata perhimpunan tersebut berjalan secara aman dalam 15 hingga 30 minit tanpa sebarang kekecohan dan mereka bersurai setelah diarahkan berbuat demikian.
"Aspek keselamatan dapat dikawal dengan baik dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Saya sudah mengarahkan semua Ketua Polis di negeri-negeri untuk membuat rondaan di kesemua masjid dan gereja. Rondaan dibuat dan pemantauan berterusan akan terus dilakukan dalam tempoh beberapa hari," katanya.
Beliau berkata tiada tangkapan dilakukan kerana mereka akur bersurai dan tidak berkumpul melepasi kawasan masjid.
Sementara itu, beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan terdapat beberapa gereja lain yang turut dilontarkan bom petrol dan beliau mengesahkan hanya tiga kes yang dilaporkan sehingga hari Jumaat.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan mana-mana pihak yang sengaja mengeksploitasi keadaan dan isu tersebut agar tidak bermain dengan api.
"Kita minta semua pihak yang dengar apa jua cerita yang boleh menimbulkan kemarahan agar tidak terpengaruh dan pada masa yang sama, jangan ambil tindakan bersandarkan pada khabar angin dan emosi.
"Isu ini kalau disensasikan boleh menimbulkan sesuatu yang tidak diingini. Apabila disensasikan insiden-insiden yang tidak boleh kita kawal dan tidak boleh kita bendung, pada masa dan ketika itu sudah terlewat," katanya.
Beliau berkata kepelbagaian dari segi agama dan kaum yang masih menjadi cabaran kepada kerajaan dan kepimpinan negara sejak selepas merdeka lagi seharusnya ditangani dengan kebijaksanaan serta keberanian. -- BERNAMA
-
0 comments:
Catat Ulasan